KERTAS KERJA INI TELAH DIBENTANGKAN DALAM KOLOKIUM ISME 2014 DI HOTEL SERI MALAYSIA, MELAKA PADA 29 MEI 2014.
“Piramid Seni” Model Asas Penghasilkan Karya Seni
Dr. Rosli Zakaria
Pensyarah Kanan Jabatan Seni Halus
FSSR UiTM Melaka
e.mail: roslizakaria@yahoo.com
Abstrak
Melihat sebuah karya seni visual bukanlah sekadar melihat karya yang
telah terpamer di dinding-dinding galeri ataupun di ruang-ruang galeri, malahan
ianya adalah satu proses untuk memahami kerja-kerja disebalik kewujudan
sesebuah karya tersebut. Di tempat mana artis selesai berkarya, disitulah
bermulanya tugas penghayat untuk cuba melihat, menganalisa dan mentasfir
keseluruhan karya tersebut. Sejarawan seni telah mengemukakan pelbagai teori
seni semenjak ratusan tahun hingga kini. Antaranya adalah Edmund Feldman (1967)
dengan teori kritikan seninya menyatakan sesebuah karya seni harus dilihat dari
dua aspek iaitu aspek bentuk dan makna. Bagi Pansfoky (2001) pula menyatakan
karya seni boleh dihayati dengan teori iknologi yang melihat perkaitan simbol,
semiotik, perlambangan dengan makna-makna yang ingin disampaikan. Ragans (2000)
pula telah memudahkan pembacaan sesebuah karya seni dengan membina kerangka
yang selari dengan tiori Feldman. Sementara itu Ocvirk (1994) merumuskan
pembentukan sesebuah karya seni didukung
tiga perkara utama iaitu, Subject,
Form dan Content. Syed Ahmad
Jamal (1992) sering mengingatkan kewujudan sesebuah karya Seni Melayu didukung
oleh Rupa dan Jiwa, seni dilihat sebagai penjelmaan bahan-baan dari alam
semulajadi kepada satu bentuk yang merupakan jiwa ‘penciptanya’. Tengku Sabri
(2009) menegaskan sesebuah karya yang cemerlang harus datang dari artis yang
mempunyai elemen sedar diri dan punya disiplin diri dalam berkarya. Justru itu
penulisan ini telah mengambil satu model yang dikemukan oleh Ocvirk yang
mewakili sarjana barat dan Tengku Sabri mewakili sarjana tempatan. Perbandingan
yang telah dibuat memberi satu justifikasi untuk dibina satu model yang lebih
bersifat lokal dan dapat dijadikan landasan penghasilan sesebuah karya seni dengan
acuan sendiri. Penulisan ini berpusat kepada satu model yang dicipta yang
diberi nama “Piramid Seni”. Tujuan utama model ini dicipta adalah untuk menjadi
sandaran kepada penghasilan sesebuah karya seni yang mempunyai dasar pemikiran
lokal seterusnya dihasilkan dengan pendekatan global. Berlandaskan model ini,
karya-karya seni yang terhasil mampu menjadi sebuah karya yang mendukung
aspirasi agama, budaya dan masyarakat setempat dan dapat dibanggakan sebagai
produk SERUM.
Pendahuluan
Harus diingat sesorang seniman berbudaya sentiasa
menghasilkan karya yang selari dengan tuntutan masyarakatnya. Slamet
Subiyantoro
(2011) menyatakan Seni rupa dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana ia
seperti satu kesatuan bentuk dan isi yang saling melengkapi antara satu sama
lain, demikian juga antara pengkarya dan
karyanya. Beliau turut menegaskan
kesenian sebagai unsur kebudayaan banyak ditemukan dari pelbagai lapisan
masyarakat yang sederhana hingga yang kompleks atau moden. Beliau memetik
pernyataan Frans Boas seorang ahli antropologis Amerika yang menyatakan bahawa
tidak ada masyarakat yang tidak meluangkan waktunya untuk kegiatan seni
sekalipun ianya masyarakat di kutub. Hujahan menarik oleh Anuar Din (2007),
tentang dua unsur utama di dalam sesebuah karya
iaitu unsur dalaman dan unsur
luaran. Beliau menyatakan sesebuah karya kreatif dibina oleh aspek dalaman
namun begitu karya seni juga dipengaruhi
oleh aspek luaran. Unsur dalaman
menjadi tunjang kepada pembinaan sesebuah karya yang merangkumi unsur
bahan, teknik, imej, kemahiran, idea, perlambangan, sejarah peradaban.
Kedua-dua unsur memantapkan penghasilan sesebuah karya seni rupa. Siti Zainon
(2007) menegaskan seni rupa merupakan
sebuah karya seni yang merangkumi sudut luaran (tersurat) seperti struktur dan
bentuk dua dan tiga dimensi. Kesemua aspek tersebut dapat dilihat, dipegang dan
dapat digunakan sekiranya ia bersifat seni gunaan. Beliau turut menekankan dari
sudut dalaman (tersirat) merangkumi
unsur jiwa, gerak rasa, fikiran dan falsafah pengkarya yang sekali gus
mewakili masyaraktnya. Dalam konteks
tempatan Syed Ahmad Jamal (1992) menyatakan perihal seni rupa Melayu
adalah penjelmaan unsur-unsur alam semulajadi kepada suatu bentuk karya seni
rupa. Karya Seni ini terhasil daripada pengamatan dan pemikiran pencipta yang
dijelmakan melalui impian, lalu mencerminkan suasana harmoni antara manusia dan
alamnya. Tiga komponen utama telah dinyatakan oleh
Ocvirk (1994) iaitu
subject,
form and content sebagai resipi sesebuah karya seni rupa.
Subject merupakan imej atau objek atau
idea yang dimanupulasikan dalam sesebuah
karya manakala
Form merujuk kepada
faktor luaran yang terdapat di dalam sesebuah karya, ia bergantung kepada jenis
karya samada 2 dimensi atau 3 dimensi.
Content
pula merujuk kepada faktor dalaman yang melibatkan perasaan, emosi atau mesej
yang ingin disampaikan melalui sesebuah karya seni. Tengku Sabri (2009)
menyarankan beberapa model didalam menghuraikan kewujudan sesebuah karya seni.
Penciptaan sesebuah karya seni secara
biasa akan melalui empat tahap iaitu kajian awal, perkembangan idea, kerja studio dan pameran.
Karya yang baik juga harus mampu berbicara, mampu menghantar idea bernas dan
mempunyai upaya untuk menjemput audiens menyelami sambil berfikir dan
menanggapi mesej atau pesanan yang terlekat pada sesebuah karya. Beliau turut
menekankan perihal artis sebagai manusia pembuat harus berkarya dengan rasa
rendah diri dan sedar diri, bahawa dia punya Tuhan Maha Berkuasa. Tuhan
berkehendakan manusia itu baik, harus berusaha untuk menjadi baik dan
menyebarkan kebaikan. Maka seorang artis itu harus baik, berperibadi baik dan
menghasilkan karya yang baik, yang bermakna.
Jelaslah bahawa pengertian-pengertian seni yang disarankan
seperti di atas sering kali menjadi sandaran apabila memperkatakan tentang sesebuah kewujudan sesebuah karya.
Pengkaji menyimpulkan pengertian serta saranan-saranan di atas dengan
menyatakan bahawa untuk mengamati sesebuah karya dua faktor utama harus
diteliti iaitu faktor tersurat dan faktor tersirat. Manakala setiap satu faktor
tersebut mempunyai landasan-landasan tersendiri yang telah diterima pakai oleh
setiap pengkarya dan seharusnya penghayat. Namun penekanan yang ingin di angkat
di dalam penulisan ini adalah yang berkaitan dengan proses belakang tadbir sesebuah
karya, khususnya bagaimana cara atau kaedah penghasilannya sehingga karya
berakhir di dinding-dinding galeri ataupun di ruang pameran. Bukanlah satu
kitaran seni yang baik sekiranya kita tidak menyingkap tabir di belakang
penghasilannya. Memperkasa kerja-kerja di sebalik tadbir akan memberi impak
kepada karya yang dipaparkan.
Permasalahan Kajian
Penghasilan sesebuah karya seni yang didukong dengan
pengisian makna memerlukan pedekatan dan kaedah tertentu didalam proses
pembinaannya. Pernyataan bahawa karya lahir secara tiba-tiba tanpa kedatangan
idea tidak boleh digunapakai walaupun ianya berbentuk eksperisi ataupun luahan emosi semata-mata. Malahan
proses mendapatkan idea adalah satu proses yang perlu dipandang serius oleh setiap artis. Dalam konteks pembelajaran
studio praktis, ramai dikalangan pelajar seni menghadapai kesukaran untuk
menghasilkan sebuah karya yang membawa gagasan didalamnya. Pelajar lebih mudah
dan selesa menghasilkan karya yang
bersifat merakam apa yang dilihat daripada menghasilkan karya menerusi
pemikiran yang tidak boleh dilihat.Untuk melahirkan idea melalui pemikiran
memerlukan komitmen yang menyeluruh jika dibandingkan melahirkan karya yang
bersifat merakamkan visual yang dilihat. Tanggungjawab besar seorang artis
inilah yang ingin diperhalusi serta diperbaiki
di dalam kajian ini. Dengan harapan karya-karya yang dilahirkan
bermenafaat dan tidak terpesong dari yang sepatutnya. Hasnol J Saidon (2014)
dalam laporan penghakiman bakat Muda
Sezaman (BMS’13) menyatakan banyak
penyertaan yang bersifat latahan
terhadap subjek persoalan; sekadar mengusik-usik, tergesa-gesa dan terlalu
kasual, kurangnya bukti penglibatan atau penasfiran yang mendalan terhadap
sesuatu tema atau isu….suasana, sikap, sentiman, pengolahan dan ungkapan secara
keseluruhannya adalah terlalu selamat, lazim, mudah dan malas. Mereka tidak
mencerminkan satu genarasi yang sedang mencari suara dan bergelut untuk
menyesuaikan diri dengan cabaran abad ke 21 yang ditekan oleh kontradikasi
antara tuntutan lokal dan global.
.
Penilaian oleh Hasnol ini boleh dijadikan intipati kepada persoalan didalam
kajian ini. Perlunya satu dasar yang mampu menjadi landasan pemikiran artis
Malaysia untuk menghadapi cabaran dari amukan
postmodern didalam melahirkan karya yang bersifat lokal dan mampu
dibawa keperingkat global.
Sehubungan itu penulisan ini telah dibuat untuk melahirkan satu model bagi membina sesebuah
karya seni secara professional dan mudah digunapakai oleh sesiapa sahaja yang
mempunyai keinginan untuk berkarya.
Objektif Kajian
1. Untuk
membuat perbandingan model karya seni yang sedia ada, iaitu antara model Organic Unity yang diperkenalkankan oleh
Ovrick dan model “Kaedah Umum Penghasilan Karya” yang di perkenalkan oleh
Tengku Sabri.
2. Membina
satu model penghasilan karya seni rupa yang bersifat penambahbaikan dari model
sedia ada.
Kaedah Kajian
Penulisan kertas kerja ini telah dijalankan secara
kualitatif dengan menggunakan dua kaedah iaitu analisa diskriptif
dan analisa komparitif
.
Melaui sumber dari data sekunder pengkaji telah membuat beberapa rujukan dari
pembacaan perpustakaan seterusnya mengenalpasti dua model utama yang berkaitan
penghasilan sesebuah karya seni. Dari dua model yang dipilih pengkaji telah
menggunakan kaedah analisa komparatif iaitu membuat perbandingan di antara
kedua model tersebut. Perbandingan yang dianalisa adalah melibatkan isi
kandungan kedua-dua model tersebut. Segala kekuatan dan kelemahan dikenalpasti
untuk dijadikan panduan di dalam membina
sebuah model yang berlaku penambahbaikan dari kedua-dua model tersebut.
Akhirnya pengkaji mencadangkan satu model
baru yang telah diubahsuai dari kedua-dua model tersebut.
Dapatan Kajian
Untuk tujuan penulisan ini, pengkaji telah memilih dua
contoh model, iaitu model organic unity
(OU) oleh Ovrick (barat) dan model ‘Kaedah Umum Penghasilan Karya’ (KUPK) oleh
Tengku Sabri (lokal). Pengkaji telah membuat analisa komparatif perihal
kedua-dua model tersebut. Beberapa dapatan telah diperolehi dari kajian
tersebut.
1.
Tiga
komponen utama dalam model Organic Unity
Rajah 1. Model
Organic Unity
Secra
ringkas Otto G.Ocvirk telah menegaskan didalam modelnya bahawa sesebuah karya
seni wujud dengan mengandungi tiga komponen utama iaitu subject, form and content . Komponen ini merupakan tiga struktur
asas yang menyokong kewujudan sesebuah karya seni. Gabungan tiga komponen
tersebut dilihat mendominasi dalam kerja-keja praktis sesebuah karya. Ia
merupakan gabungan teori dan praktis.
Rajah
di atas menunjukkan bagaimana seorang artis mendapat inspirasi tentang subject yang merujuk kepada ‘apa’ (What). Subjek yang dimaksudkan oleh
Ovrick adalah bersifat benda yang nyata seperti manusia, rumah, pokok-pkok dan
seumpamanya. Subjek yang sebegini sering dikatakan Tangible Subject. Manakala subject yang bersifat isu, emosi,
perasaan seringkali tidak dapat dilihat dari mata dan ini di katakan Intangible Subject. Komponen kedua iaitu
form merujuk kepada ‘bagaimana’ (how) tindakan artis mengolah, menyusun,
memilih elemen dan prinsip asas seni di dalam karya mereka. Artistik elemen ini
merujuk kepada penggunaan, garisan, rupa, bentuk, ruang, warna dan jalinan.
Begitu juga bagaimana artis menguruskan kesemua elemen tersebut berdasarkan
prinsip-prinsip seperti harmoni, kontras, kesimbangan, kadarbanding,
pergerakan, irama dan seumpamanya. Komponen kedua ini memperlihatkan bagaimana
kemampuan seorang artis mengaplikasikan aspek teori asas didalam karya mereka.
Dan komponen ketiga yang ditekankan oleh Ovrick dalam modelnya adalah content yang merujuk kepada kata kunci
‘mengapa’ (the why). Komponen ketiga
ini menjurus kepada apa yang ingin disampaikan kepada penghayat, juga sering
dinyatakan sebagai pernyataan seorang artis lewat karya mereka. Ia kadang kala
bersifat luahan perasaan atau ingin menyampaikan sesuatu makna yang tersurat
maupun tersirat. Ketiga-tiga komponen ini bergerak dan bersatu untuk menjadikan
bentuk sebuah karya seni. Keseluruhan prose itu
disebut sebagai “Organic Unity”iaitu
satu kitaran sempurna yang mengandungi permulaan, pertengahan dan akhiran.
2.
Empat tahap berkarya dalam ‘Kaedah Umum
Penghasilan Karya’ Model oleh Tengku Sabri
Model kedua (rajah 2) yang menjadi rujukan pengkaji adalah
yang telah dinyatakan oleh Tengku Sabri di dalam bahagian satu bukunya “Tanpa
Tajuk- cerita-cerita Seni Rupa”. Dalam bab teori ini Tengku Sabri telah
mengariskan bagaimana proses sesebuah karya di hasilkan. Beliau menamakan model
ini Kaedah Umum Penghasilan Karya
(ms7). Berdasarkan analisa ringkas, model ini dimulakan dengan tahap pertama
iaitu membuat kajian awal, di tahap ini artis akan mengenalpasti bentuk, idea
atau makna yang ingin diusahakan. Proses ini juga akan bergerak atas dasar
membuat kajian dari sumber-sumber primary
atau pun sekunder. Seterusnya akan
bergerak ke tahap kedua iaitu menyusun dan mengolah data yang diperoleh dengan
mengambil kira pengetahuan dan pengalaman artis tentang aspek formal seperti
elemen dan prinsip seni. Gubahan yang mungkin berbentuk lakaran atau gambar
akan memenuhi tahap perkembangan idea. Tahap ketiga adalah, gubahan atau perancangan yang telah dibuat
akan dibawa ke studio untuk dikembangkan dalam kontek sebuah karya berdasarkan
disiplin masing-masing seperti karya catan, karya arca, karya cetakan ataupun
arca. Beberapa pertimbangan yang melibatkan bahan dan teknik akan diambil kira
didalam proses kerja-kerja studio. Tahap akhirnya adalah karya yang telah siap akan di bawa untuk
dipamerkan sekaligus untuk di jual. Tengku Sabri menambah satu lagi model yang
seiring dengan model pertama tadi. Dinamakan model ini Penghasilan Sebuah Karya Seni (PSKS) (ms9). Model ini harus dibaca
seiring dengan model yang pertama tadi, ini kerana Tengku Sabri menegaskan proses yang terkandung dalam model KUPK tidak akan berdiri sendiri untuk
berjaya menghasilkan sebuah karya yang baik jika tidak diambil kira perihal
Sedar diri dan Disiplin Diri seorang artis. Beliau menyatakan proses berkarya
seperti di dalam model KUPK akan
menjadi sia-sia atau kurang berkesan jika tidak digabungkan dengan soal
sedar diri atau disiplin pengkaryanya
seperti yang terdapat di dalam model PSKS
Rajah 2. Kaedah Umum Penghasilan Karya.
Rajah 3. Penghasilan Sebuah Karya Seni
3.
Kekurangan model OU dan model KUPK
Didalam model OU penekanan hanya kepada tiga elemen utama dan perinciannya
tidak menyeluruh. Ia berpusat kepada bentukan sebuah karya tanpa memasukkan
faktor diri seorang artis. Model ini melihat kewujudan sesebuah karya seni
tanpa memberi landasan tertentu bentukan seni yang bagaimana harus dilakukan.
Ia memberi kebebasan mutlak kepada artis melaksanakan apa yang diinginkan. OU
hanya sebuah model yang memperlihatkan apa yang wujud secara fizikal didalam
sesebuah karya tanpa mengambil kira bagaimana artisnya berfungsi.
Manakala model KUPK bergerak sebagai satu carta alir menghasilkan sebuah
karya seni, tidak wujud kesenimbungan peranan antara artis dengan yang lain.
Carta yang berbentuk ringkas tidak dibina dengan gagasan yang menepati
ciri-ciri sebuah karya. Malahan model ini
bermula dan berakhir secara mudah dan tidak ditunjukkan didalam rajahnya
bagaimana setiap peringkat proses pembinaan karya itu berinteraksi antara satu
sama lain. Malahan Model KUPK perlu didukung dengan satu lagi model iaitu PSKS
bagi memberikan kejelasan bagaimana peranan artis harus berfungsi didalam
penghasilan sesebuah karya.
Kesimpulan kajian perbandingan ini mendapati model yang dibina oleh
kedua-dua tokoh ini sememang memberi impak dalam proses menganalisa sesebuah
karya seni dan juga proses menghasilkan sebuah karya seni. Namun begitu dengan
beberapa kelemahan yang wujud, pengkaji mencadangkan satu model yang membawa
penambahbaikan dan bersesuaian dengan konteks lokal harus dibangunkan.
Muliyadi Mahamood
,
telah merakamkan kritikan oleh beberapa budayawan Melayu seperti
Allahyarham Ismail Zain, Tan Sri Awang Had Salleh dan Dr Nordin Selat tentang
penglibatan para seniman dalam kegiatan dan kreativiti yang bertunjangkan
fahaman barat. Kesimpulan dinyatakan bahawa tindakan seniman tempatan
menjunjung idiom dan pemikiran seni Barat dilihat sebagai kepura-puraan dan
menjadi “pak turut”, kerana mendukungi struktur-struktur seni Barat yang hanya
bersifat seni galeri, menggalakkan sifat keindividuan, antisosial,
memperjuangkan konsep ‘seni untuk seni” dan menolak unsur-unsur murni.
Model
Piramid Seni merupakan kesinambungan gagasan idea Kongres Kebudayaan Kebangsaan
(KKK)1971 yang telah termaktub semenjak 44 tahun yang lalu. Ia memberi
kejelasan tentang bagaimana sesebuah karya dibina dengan landasan dan arah tuju
yang nyata. Model ini cuba melakukan penambahbaikan dari kedua-dua model OU dan
KUPK. Kecelaruan era postmodern yang
melanda dunia Seni Rupa Malaysia harus ditangani di peringkat paling dasar maka
perlunya satu garisan panduan yang jelas untuk digunapakai oleh setiap pelajar
seni rupa juga artis seni rupa. Jika gagasan KKK1971 merupakan konsep pemikiran
maka model Piramid Seni merupakan model tindakan yang mampu digunapakai bagi
mengatur gerakan artis seni rupa Malayasia di dalam berkarya.
Rajah 4: Model Piramid
Seni
Dalam model Piramid Seni, konsep sebuah piramid telah
digunapakai. Terdapat tiga bahagian utama yang dibina di dalam model ini.
Pertama tapak/dasar. Kedua empat tiang asas dan ketiga adalah puncak. Bahagian
tapak/dasar dimulakan dengan garisan dari
A
ke
B. Garisan ini mewakili elemen
dasar yang paling penting iaitu ugama.
Perkara
3, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa "Ugama Islam ialah ugama
rasmi bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan
damai di mana-mana bahagian Persekutuan". Perkara 11 mengenai Kebebasan
Ugama pula menyatakan "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan
mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan
ugamanya". Ini bermakna walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam
sebagai agama rasminya, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai
keturunan dan kepercayaan, bebas mengamalkan
kepercayaan masing-masing.
Makanya tapak/dasar yang pertama ini harus bermain di dalam pemikiran
atau tindakan yang ingin dijadikan idea atau gagasan didalam karya Seni Rupa.
Diikuti garisan dari
B ke
C yang mewakili dasar budaya. Ini
adalah lanjutan dari
Dasar
Kebudayaan Kebangsaan (DKK) telah digubal dalam tahun 1971 iaitu
pada tanggal 16 -20 Ogos 1971. Ianya lahir daripada gagasan
Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan
(1971). Tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan
Kebangsaan iaitu:
a. Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah
berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal rantau ini.
b. Unsur kebudayaan lain yang
sesuai dan wajar boleh diterima menjadi
unsur kebudayaan kebangsaan.
c. Islam menjadi unsur yang penting dalam
pembentukan kebudayaan kebangsaan.
Dasar ketiga diwakili oleh garisan dari C ke D iaitu dasar
‘Masyarakat’. Pendekatan semasa yang harus dinilai semula oleh setiap artis
adalah sejauh manakah setiap hasilan karya mereka mampu menyumbang untuk
masyarakatnya, samaada dari segi sumbangan fizikal maupun pemikiran. Dalam
iklim seni di Malaysia keupayaan masyarakat untuk ‘merestui’ pelbagai jenis
kesenian amatlah meragukan terutamanya apabila berbicara soal seni rupa.
Malahan sikap pandangan serong ini bukan hanya wujud di kalangan masyarakat
biasa tetapi di peringkat yang mampu membuat dan menentukan dasar. Golongan
seniman seringkali menunding jari kepada kelompok masyarakat yang sebegini,
namun berapa ramai yang mengakui tentang kurangnya komitment mereka untuk
berkarya didalam pemahaman serta sumbangan kepada masyarakat mereka. Pemikiran
bahawa karya seni harus terpamer di galeri-galeri elitis dan bukannya di
ruang-ruang terbuka atau paling tidak di ruang balai raya kampong masih
tertanam kukuh di dalam jiwa seniman Malaysia. Malahan kekerapan penolakan
pihak pembuat dasar terhadap cadangan sesuatu karya, menjadi indikator
pergerakan seni yang bergerak dalam kerangka elitis juga tidak cukup membawa
masyarakat untuk memahami kepentingan seni di dalam masyarakat. Oleh hal yang
sedemikian tapak/dasar ‘Masyarakat’ harus menjadi landasan utama artis untuk
berkarya. Tapak/dasar keempat yang ditonjolkan di dalam model Piramid Seni
adalah ‘Intlektual’. Dunia abad ke 21 telah menjurus kepada K-ekonomi
(knowledge-ekonomi), menyebabkan dasar pendidikan Negara turut berubah, lantas
Malaysia menyasarkan negara berpendidikan tinggi sebagai satu KPI yang ingin
dicapai agar Malaysia mampu menjadi negara maju. Maka dalam model Piramid Seni
justifikasi ‘Intlektual’ sebagai salah satu tapak/dasar untuk membina karya
amatlah bertepatan. Seniman yang serius perihal intlektual mampu mengorak
langkah lebih bermenafaat di dalam karya-karya mereka.
Kempat-empat garisan yang bermula dengan ABCD telah menjadi tapak/dasar yang
menguatkan pemikiran artis dalam merangka kerja seterusnya iaitu menegakkan
tiang karya seni mereka. Empat dasar yang diberi selain menjadi tapak pemikiran
artis, ia juga dilihat sebagai benteng untuk menahan kemasukkan pengaruh negatif yang boleh merosakkan.
Benteng ini juga sebagai penahan dari keluarnya perkara positif yang sedia ada.
Bahagian kedua Piramid Seni adalah yang berkaitan tentang
fizikal atau bentukan karya. Terdapat empat tiang utama diperkenalkan. Ini
berbeza dari tiga kompenen yang terdapat didalam model OU oleh Ocvrik. Tiang
pertama ditunjukkan dengan garisan dari A ke E, dikenali sebagai subjek/objek/alam. Tiang pertama ini dapat
disamakan dengan komponen subject
dalam model OU. Alam dimasukkan kedalam tiang ini adalah untuk memberi
penekanan apa jua subjek atau objek yang dilihat atau dikaji adalah berasal
dari kejadiaan alam yang bukan dicipta
oleh manusia. Tiang kedua bermula dari B
ke E yang dikenali sebagai tiang
Formalistik/tersurat. Seperti dalam model OU tiang ini juga bersifat elemen dan
prinsip-prinsip rekaan, ia menjadi teras kepada olahan sesebuah karya, bagaimana
artis menyusun dan memilih akan menentukan kewujudan sesebuah karya seni rupa.
Namun dalam model Piramid Seni tiang BE
ditambah dengan elemen tersurat. Ianya memperjelaskan bagaimana gambaran atau
imej yang dihasilkan dapat memberi kefahaman secara luaran. Tiang ketiga dari C ke E menjadi ‘tiang’ ‘Makna/tersirat’. Apa yang ingin disampaikan
adalah merupakan gagasan seorang artis yang dibawa oleh tiang tersebut. Tiang
ini membawa makna-makana tersirat disebalik yang tersurat. Dalam model Piramid
Seni pengkaji telah menambah satu tiang
iaitu ‘tiang artis’, Ini tidak wujud didalam OU manakala dalam model KUPK artis
turut tidak diwujudkan, namun Tengku Sabri meletakkan didalam satu lagi model
penyokong. Artis menjadi unsur yang sering kali dilupakan setiap kali apabila
perancangan untuk berkarya di lakukan . Apa yang dimaksudkan adalah apabila
sesebuah karya yang terpapar di dinding-dinding, sepintas lalau ianya adalah
sebuah catan kanvas atau ketulan batu (jika arca) secara fizikalnya, tetapi
yang sebenarnya tergantung di dinding adalah artisnya dan yang terletak di
pedestal adalah pengarcanya. Sampai satu ketika ketidakwujudan karya boleh
digantikan dengan kewujudan artisnya. Dapat disimpulkan empat tiang utama ini
mempunyai kekuatan serta peranannya masing didalam menyumbang kewujudan sesuatu
karya seni rupa. Dan bahagian ketiga adalah puncak piramid E yang mendukung karya seni
di atasnya.
Ringkasnya Piramid Seni dapat dimengerti sebagai sebuah
model yang mengandungi tiga bahagian utama, empat unsur yang menjadi dasar
pemikiran, empat unsur menjadi dasar pembinaan, dan kemuncaknya adalah
kelahiran sebuah karya Seni Rupa yang mantap dari segi yang tersurat dan
tersirat.
Kesimpulan
Kajian ini telah membuat analisa dua model yang sering
dilihat dan diamalkan oleh kebanyakan artis Seni Rupa. Namun begitu bagi
menangani dunia globalisasi yang menyerang segenap bidang, kedua-dua model
tersebut harus dilihat semula agar ia mampu berfungsi dalam konteks artis postmodern Malaysia. Model Piramid Seni
dibangunkan dengan membawa konsep sebagai benteng penahan kemasukan yang
negatif juga benteng penahan dari keluarnya yang positif. Dengan tapak yang
mempunyai empat elemen dasar iaitu ugama, budaya, masyarakat dan intlektual,
diharapkan dapat memeri kekuatan pemikiran untuk artis mencari idea kemudiannya
disalurkan di dalam karya-karya mereka.
Bentukkan karya akan didukung oleh empat tiang utama iaitu subjek, aspek
formal, makna, dan artis. Kekuatan dari pemikiran dan kekuatan dari kerja
praktik yang didasarkan dari model Piramid Seni akan lahirlah karya seni yang
bertunjangkan pemikiran tempatan namun bergerak kehadapan dalam kerangka
“thinking local , Acting Global”.
Rujukan;
Anwar Din. 2007. Asas Kebudayaan
dan Kesenian Melayu. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Ocvirk Otto G.,Stinson R.E.,Wigg P.R., Bone R.O., Cayton D.L. 1994. Art
Fundamentals
Theory & Practice. Edisi Ketujuh. UK: Wcc Brown &
Benchmark Publishers.
Ragans,R. 2000. Art Talk, USA: Glencoe/McGraw-Hill
Rosli Zakaria. 2014. Membina Karya Melalui Proses Berfikir dalam Tunas Ilham 13, Melaka;
FSSR UiTM Melaka.
Siti Zainon Ismail. 2007. Seni Rupa. Dlm Anwar Din (pnyt.). Asas Kebudayaan dan
Kesenian
Melayu, hlm 221-235. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Slamet Subiyantoro, 2011. Antropologi Seni Rupa- Teori, Metode, &
Contoh Telaah Analitis. Surakarta. UNS Press.
Syed Ahmad Jamal. 1992.
Rupa & Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Tengku Sabri Ibrahim.
2009. Tanpa Tajuk; Cerita-cerita Seni
Rupa. KualaLumpur:
Tinta Publisher.
Zainuddin
Abindinhazir, Prof. Dr. Dzul Haimi Md Zain, 2013.
Pemikiran Barat Dalam Seni
Arca Sezaman Malaysia dalam ProsidingSeminar Antarabangsa Ke2, Arkeologi Sejarah
dan Budaya di Alam Melayu, Institut Alam ,UKM,
Bangi
Tengku Sabri Ibrahim. 2009. Tanpa Tajuk; Cerita-cerita Seni Rupa.
KualaLumpur: Tinta Publisher.
Tengku Sabri Ibrahim. 2009. Tanpa Tajuk; Cerita-cerita Seni Rupa.
KualaLumpur: Tinta Publisher.
Zainuddin Abindinhazir, Prof. Dr. Dzul Haimi Md Zain. Pemikiran
Barat Dalam Seni Arca Sezaman Malaysia dalam ProsidingSeminar Antarabangsa Ke2, Arkeologi Sejarah dan Budaya di
Alam Melayu.
Kertaskerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Arkeologi Sejarah dan Budaya,
UKM Bangi. 26-27 November
3013.