Saturday, November 15, 2014

Piramid Seni Model Asas Penghasilan karya Seni.



KERTAS KERJA INI TELAH DIBENTANGKAN DALAM  KOLOKIUM ISME 2014 DI HOTEL SERI MALAYSIA, MELAKA  PADA 29 MEI 2014.


“Piramid Seni” Model  Asas Penghasilkan Karya Seni

Dr. Rosli Zakaria
Pensyarah Kanan Jabatan Seni Halus
FSSR UiTM Melaka
e.mail: roslizakaria@yahoo.com


Abstrak
Melihat sebuah karya seni visual bukanlah sekadar melihat karya yang telah terpamer di dinding-dinding galeri ataupun di ruang-ruang galeri, malahan ianya adalah satu proses untuk memahami kerja-kerja disebalik kewujudan sesebuah karya tersebut. Di tempat mana artis selesai berkarya, disitulah bermulanya tugas penghayat untuk cuba melihat, menganalisa dan mentasfir keseluruhan karya tersebut. Sejarawan seni telah mengemukakan pelbagai teori seni semenjak ratusan tahun hingga kini. Antaranya adalah Edmund Feldman (1967) dengan teori kritikan seninya menyatakan sesebuah karya seni harus dilihat dari dua aspek iaitu aspek bentuk dan makna. Bagi Pansfoky (2001) pula menyatakan karya seni boleh dihayati dengan teori iknologi yang melihat perkaitan simbol, semiotik, perlambangan dengan makna-makna yang ingin disampaikan. Ragans (2000) pula telah memudahkan pembacaan sesebuah karya seni dengan membina kerangka yang selari dengan tiori Feldman. Sementara itu Ocvirk (1994) merumuskan pembentukan sesebuah karya seni didukung  tiga perkara utama iaitu, Subject, Form dan Content. Syed Ahmad Jamal (1992) sering mengingatkan kewujudan sesebuah karya Seni Melayu didukung oleh Rupa dan Jiwa, seni dilihat sebagai penjelmaan bahan-baan dari alam semulajadi kepada satu bentuk yang merupakan jiwa ‘penciptanya’. Tengku Sabri (2009) menegaskan sesebuah karya yang cemerlang harus datang dari artis yang mempunyai elemen sedar diri dan punya disiplin diri dalam berkarya. Justru itu penulisan ini telah mengambil satu model yang dikemukan oleh Ocvirk yang mewakili sarjana barat dan Tengku Sabri mewakili sarjana tempatan. Perbandingan yang telah dibuat memberi satu justifikasi untuk dibina satu model yang lebih bersifat lokal dan dapat dijadikan landasan penghasilan sesebuah karya seni dengan acuan sendiri. Penulisan ini berpusat kepada satu model yang dicipta yang diberi nama “Piramid Seni”. Tujuan utama model ini dicipta adalah untuk menjadi sandaran kepada penghasilan sesebuah karya seni yang mempunyai dasar pemikiran lokal seterusnya dihasilkan dengan pendekatan global. Berlandaskan model ini, karya-karya seni yang terhasil mampu menjadi sebuah karya yang mendukung aspirasi agama, budaya dan masyarakat setempat dan dapat dibanggakan sebagai produk SERUM.



Pendahuluan
Harus diingat sesorang seniman berbudaya sentiasa menghasilkan karya yang selari dengan tuntutan masyarakatnya. Slamet Subiyantoro[1] (2011) menyatakan Seni rupa dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana ia seperti satu kesatuan bentuk dan isi yang saling melengkapi antara satu sama lain, demikian juga  antara pengkarya dan karyanya. Beliau turut  menegaskan kesenian sebagai unsur kebudayaan banyak ditemukan dari pelbagai lapisan masyarakat yang sederhana hingga yang kompleks atau moden. Beliau memetik pernyataan Frans Boas seorang ahli antropologis Amerika yang menyatakan bahawa tidak ada masyarakat yang tidak meluangkan waktunya untuk kegiatan seni sekalipun ianya masyarakat di kutub. Hujahan menarik oleh Anuar Din (2007), tentang dua unsur utama di dalam sesebuah karya  iaitu unsur dalaman  dan unsur luaran. Beliau menyatakan sesebuah karya kreatif dibina oleh aspek dalaman namun begitu karya seni juga dipengaruhi  oleh aspek luaran. Unsur dalaman  menjadi tunjang kepada pembinaan sesebuah karya yang merangkumi unsur bahan, teknik, imej, kemahiran, idea, perlambangan, sejarah peradaban. Kedua-dua unsur memantapkan penghasilan sesebuah karya seni rupa. Siti Zainon (2007) menegaskan seni rupa  merupakan sebuah karya seni yang merangkumi sudut luaran (tersurat) seperti struktur dan bentuk dua dan tiga dimensi. Kesemua aspek tersebut dapat dilihat, dipegang dan dapat digunakan sekiranya ia bersifat seni gunaan. Beliau turut menekankan dari sudut dalaman (tersirat) merangkumi  unsur jiwa, gerak rasa, fikiran dan falsafah pengkarya yang sekali gus mewakili masyaraktnya. Dalam konteks  tempatan Syed Ahmad Jamal (1992) menyatakan perihal seni rupa Melayu adalah penjelmaan unsur-unsur alam semulajadi kepada suatu bentuk karya seni rupa. Karya Seni ini terhasil daripada pengamatan dan pemikiran pencipta yang dijelmakan melalui impian, lalu mencerminkan suasana harmoni antara manusia dan alamnya. Tiga komponen utama telah dinyatakan oleh Ocvirk (1994) iaitu subject, form and content sebagai resipi sesebuah karya seni rupa. Subject merupakan imej atau objek atau idea  yang dimanupulasikan dalam sesebuah karya manakala Form merujuk kepada faktor luaran yang terdapat di dalam sesebuah karya, ia bergantung kepada jenis karya samada 2 dimensi atau 3 dimensi. Content pula merujuk kepada faktor dalaman yang melibatkan perasaan, emosi atau mesej yang ingin disampaikan melalui sesebuah karya seni. Tengku Sabri (2009) menyarankan beberapa model didalam menghuraikan kewujudan sesebuah karya seni. Penciptaan sesebuah karya  seni secara biasa akan melalui empat tahap iaitu kajian awal,  perkembangan idea, kerja studio dan pameran. Karya yang baik juga harus mampu berbicara, mampu menghantar idea bernas dan mempunyai upaya untuk menjemput audiens menyelami sambil berfikir dan menanggapi mesej atau pesanan yang terlekat pada sesebuah karya. Beliau turut menekankan perihal artis sebagai manusia pembuat harus berkarya dengan rasa rendah diri dan sedar diri, bahawa dia punya Tuhan Maha Berkuasa. Tuhan berkehendakan manusia itu baik, harus berusaha untuk menjadi baik dan menyebarkan kebaikan. Maka seorang artis itu harus baik, berperibadi baik dan menghasilkan karya yang baik, yang bermakna.
Jelaslah bahawa pengertian-pengertian seni yang disarankan seperti di atas sering kali menjadi sandaran apabila memperkatakan  tentang sesebuah kewujudan sesebuah karya. Pengkaji menyimpulkan pengertian serta saranan-saranan di atas dengan menyatakan bahawa untuk mengamati sesebuah karya dua faktor utama harus diteliti iaitu faktor tersurat dan faktor tersirat. Manakala setiap satu faktor tersebut mempunyai landasan-landasan tersendiri yang telah diterima pakai oleh setiap pengkarya dan seharusnya penghayat. Namun penekanan yang ingin di angkat di dalam penulisan ini adalah yang berkaitan dengan proses belakang tadbir sesebuah karya, khususnya bagaimana cara atau kaedah penghasilannya sehingga karya berakhir di dinding-dinding galeri ataupun di ruang pameran. Bukanlah satu kitaran seni yang baik sekiranya kita tidak menyingkap tabir di belakang penghasilannya. Memperkasa kerja-kerja di sebalik tadbir akan memberi impak kepada karya yang dipaparkan.

Permasalahan Kajian

Penghasilan sesebuah karya seni yang didukong dengan pengisian makna memerlukan pedekatan dan kaedah tertentu didalam proses pembinaannya. Pernyataan bahawa karya lahir secara tiba-tiba tanpa kedatangan idea tidak boleh digunapakai walaupun ianya berbentuk eksperisi  ataupun luahan emosi semata-mata. Malahan proses mendapatkan idea adalah satu proses yang perlu dipandang  serius oleh setiap artis. Dalam konteks pembelajaran studio praktis, ramai dikalangan pelajar seni menghadapai kesukaran untuk menghasilkan sebuah karya yang membawa gagasan didalamnya. Pelajar lebih mudah dan selesa menghasilkan  karya yang bersifat merakam apa yang dilihat daripada menghasilkan karya menerusi pemikiran yang tidak boleh dilihat.Untuk melahirkan idea melalui pemikiran memerlukan komitmen yang menyeluruh jika dibandingkan melahirkan karya yang bersifat merakamkan visual yang dilihat. Tanggungjawab besar seorang artis inilah yang ingin diperhalusi serta diperbaiki  di dalam kajian ini. Dengan harapan karya-karya yang dilahirkan bermenafaat dan tidak terpesong dari yang sepatutnya. Hasnol J Saidon (2014) dalam laporan  penghakiman bakat Muda Sezaman (BMS’13)  menyatakan banyak penyertaan yang bersifat  latahan terhadap subjek persoalan; sekadar mengusik-usik, tergesa-gesa dan terlalu kasual, kurangnya bukti penglibatan atau penasfiran yang mendalan terhadap sesuatu tema atau isu….suasana, sikap, sentiman, pengolahan dan ungkapan secara keseluruhannya adalah terlalu selamat, lazim, mudah dan malas. Mereka tidak mencerminkan satu genarasi yang sedang mencari suara dan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan cabaran abad ke 21 yang ditekan oleh kontradikasi antara tuntutan lokal dan global.[2]. Penilaian oleh Hasnol ini boleh dijadikan intipati kepada persoalan didalam kajian ini. Perlunya satu dasar yang mampu menjadi landasan pemikiran artis Malaysia untuk menghadapi cabaran dari amukan postmodern didalam melahirkan karya yang bersifat lokal dan mampu dibawa keperingkat global.
Sehubungan itu penulisan ini telah dibuat untuk  melahirkan satu model bagi membina sesebuah karya seni secara professional dan mudah digunapakai oleh sesiapa sahaja yang mempunyai keinginan untuk berkarya.




Objektif Kajian

1.      Untuk membuat perbandingan model karya seni yang sedia ada, iaitu antara model Organic Unity yang diperkenalkankan oleh Ovrick dan model “Kaedah Umum Penghasilan Karya” yang di perkenalkan oleh Tengku Sabri.
2.      Membina satu model penghasilan karya seni rupa yang bersifat penambahbaikan dari model sedia ada.


Kaedah Kajian

Penulisan kertas kerja ini telah dijalankan secara kualitatif dengan menggunakan dua kaedah iaitu analisa diskriptif[3] dan analisa komparitif[4]. Melaui sumber dari data sekunder pengkaji telah membuat beberapa rujukan dari pembacaan perpustakaan seterusnya mengenalpasti dua model utama yang berkaitan penghasilan sesebuah karya seni. Dari dua model yang dipilih pengkaji telah menggunakan kaedah analisa komparatif iaitu membuat perbandingan di antara kedua model tersebut. Perbandingan yang dianalisa adalah melibatkan isi kandungan kedua-dua model tersebut. Segala kekuatan dan kelemahan dikenalpasti untuk dijadikan panduan  di dalam membina sebuah model yang berlaku penambahbaikan dari kedua-dua model tersebut. Akhirnya pengkaji mencadangkan satu model  baru yang telah diubahsuai dari kedua-dua model tersebut.



Dapatan Kajian
Untuk tujuan penulisan ini, pengkaji telah memilih dua contoh model, iaitu model organic unity (OU) oleh  Ovrick (barat) dan  model ‘Kaedah Umum Penghasilan Karya’ (KUPK) oleh Tengku Sabri (lokal). Pengkaji telah membuat analisa komparatif perihal kedua-dua model tersebut. Beberapa dapatan telah diperolehi dari kajian tersebut.
1.      Tiga komponen utama dalam model Organic Unity






Rajah 1. Model Organic Unity[5]

Secra ringkas Otto G.Ocvirk telah menegaskan didalam modelnya bahawa sesebuah karya seni wujud dengan mengandungi tiga komponen utama iaitu subject, form and content . Komponen ini merupakan tiga struktur asas yang menyokong kewujudan sesebuah karya seni. Gabungan tiga komponen tersebut dilihat mendominasi dalam kerja-keja praktis sesebuah karya. Ia merupakan gabungan teori dan praktis.
Rajah di atas menunjukkan bagaimana seorang artis mendapat inspirasi tentang subject yang merujuk kepada ‘apa’ (What). Subjek yang dimaksudkan oleh Ovrick adalah bersifat benda yang nyata seperti manusia, rumah, pokok-pkok dan seumpamanya. Subjek yang sebegini sering dikatakan Tangible Subject. Manakala subject yang bersifat isu, emosi, perasaan seringkali tidak dapat dilihat dari mata dan ini di katakan Intangible Subject. Komponen kedua iaitu form merujuk kepada ‘bagaimana’ (how) tindakan artis mengolah, menyusun, memilih elemen dan prinsip asas seni di dalam karya mereka. Artistik elemen ini merujuk kepada penggunaan, garisan, rupa, bentuk, ruang, warna dan jalinan. Begitu juga bagaimana artis menguruskan kesemua elemen tersebut berdasarkan prinsip-prinsip seperti harmoni, kontras, kesimbangan, kadarbanding, pergerakan, irama dan seumpamanya. Komponen kedua ini memperlihatkan bagaimana kemampuan seorang artis mengaplikasikan aspek teori asas didalam karya mereka. Dan komponen ketiga yang ditekankan oleh Ovrick dalam modelnya adalah content yang merujuk kepada kata kunci ‘mengapa’ (the why). Komponen ketiga ini menjurus kepada apa yang ingin disampaikan kepada penghayat, juga sering dinyatakan sebagai pernyataan seorang artis lewat karya mereka. Ia kadang kala bersifat luahan perasaan atau ingin menyampaikan sesuatu makna yang tersurat maupun tersirat. Ketiga-tiga komponen ini bergerak dan bersatu untuk menjadikan bentuk sebuah karya seni. Keseluruhan prose itu  disebut sebagai “Organic Unity”iaitu satu kitaran sempurna yang mengandungi permulaan, pertengahan dan akhiran.

2.       Empat tahap berkarya dalam ‘Kaedah Umum Penghasilan Karya’ Model oleh Tengku Sabri
Model kedua (rajah 2) yang menjadi rujukan pengkaji adalah yang telah dinyatakan oleh Tengku Sabri di dalam bahagian satu bukunya “Tanpa Tajuk- cerita-cerita Seni Rupa”. Dalam bab teori ini Tengku Sabri telah mengariskan bagaimana proses sesebuah karya di hasilkan. Beliau menamakan model ini Kaedah Umum Penghasilan Karya (ms7). Berdasarkan analisa ringkas, model ini dimulakan dengan tahap pertama iaitu membuat kajian awal, di tahap ini artis akan mengenalpasti bentuk, idea atau makna yang ingin diusahakan. Proses ini juga akan bergerak atas dasar membuat kajian dari sumber-sumber primary atau pun sekunder. Seterusnya akan bergerak ke tahap kedua iaitu menyusun dan mengolah data yang diperoleh dengan mengambil kira pengetahuan dan pengalaman artis tentang aspek formal seperti elemen dan prinsip seni. Gubahan yang mungkin berbentuk lakaran atau gambar akan memenuhi tahap perkembangan idea. Tahap ketiga adalah,  gubahan atau perancangan yang telah dibuat akan dibawa ke studio untuk dikembangkan dalam kontek sebuah karya berdasarkan disiplin masing-masing seperti karya catan, karya arca, karya cetakan ataupun arca. Beberapa pertimbangan yang melibatkan bahan dan teknik akan diambil kira didalam proses kerja-kerja studio. Tahap akhirnya adalah  karya yang telah siap akan di bawa untuk dipamerkan sekaligus untuk di jual. Tengku Sabri menambah satu lagi model yang seiring dengan model pertama tadi. Dinamakan model ini Penghasilan Sebuah Karya Seni (PSKS) (ms9). Model ini harus dibaca seiring dengan model yang pertama tadi, ini kerana Tengku Sabri menegaskan  proses yang terkandung dalam model KUPK tidak akan berdiri sendiri untuk berjaya menghasilkan sebuah karya yang baik jika tidak diambil kira perihal Sedar diri dan Disiplin Diri seorang artis. Beliau menyatakan proses berkarya seperti di dalam model KUPK akan menjadi sia-sia atau kurang berkesan jika tidak digabungkan dengan soal sedar  diri atau disiplin pengkaryanya seperti yang terdapat di dalam model PSKS

 



Rajah 2. Kaedah Umum Penghasilan Karya.[6]








Rajah 3. Penghasilan Sebuah Karya Seni[7]

3.      Kekurangan model OU dan model KUPK

Didalam model OU penekanan hanya kepada tiga elemen utama dan perinciannya tidak menyeluruh. Ia berpusat kepada bentukan sebuah karya tanpa memasukkan faktor diri seorang artis. Model ini melihat kewujudan sesebuah karya seni tanpa memberi landasan tertentu bentukan seni yang bagaimana harus dilakukan. Ia memberi kebebasan mutlak kepada artis melaksanakan apa yang diinginkan. OU hanya sebuah model yang memperlihatkan apa yang wujud secara fizikal didalam sesebuah karya tanpa mengambil kira bagaimana artisnya berfungsi.

Manakala model KUPK bergerak sebagai satu carta alir menghasilkan sebuah karya seni, tidak wujud kesenimbungan peranan antara artis dengan yang lain. Carta yang berbentuk ringkas tidak dibina dengan gagasan yang menepati ciri-ciri sebuah karya. Malahan model ini  bermula dan berakhir secara mudah dan tidak ditunjukkan didalam rajahnya bagaimana setiap peringkat proses pembinaan karya itu berinteraksi antara satu sama lain. Malahan Model KUPK perlu didukung dengan satu lagi model iaitu PSKS bagi memberikan kejelasan bagaimana peranan artis harus berfungsi didalam penghasilan sesebuah karya.

Kesimpulan kajian perbandingan ini mendapati model yang dibina oleh kedua-dua tokoh ini sememang memberi impak dalam proses menganalisa sesebuah karya seni dan juga proses menghasilkan sebuah karya seni. Namun begitu dengan beberapa kelemahan yang wujud, pengkaji mencadangkan satu model yang membawa penambahbaikan dan bersesuaian dengan konteks lokal harus dibangunkan.


4.      Model Piramid Seni[8]

Muliyadi Mahamood, telah merakamkan kritikan oleh beberapa budayawan Melayu seperti Allahyarham Ismail Zain, Tan Sri Awang Had Salleh dan Dr Nordin Selat tentang penglibatan para seniman dalam kegiatan dan kreativiti yang bertunjangkan fahaman barat. Kesimpulan dinyatakan bahawa tindakan seniman tempatan menjunjung idiom dan pemikiran seni Barat dilihat sebagai kepura-puraan dan menjadi “pak turut”, kerana mendukungi struktur-struktur seni Barat yang hanya bersifat seni galeri, menggalakkan sifat keindividuan, antisosial, memperjuangkan konsep ‘seni untuk seni” dan menolak unsur-unsur murni.[9]


Model Piramid Seni merupakan kesinambungan gagasan idea Kongres Kebudayaan Kebangsaan (KKK)1971 yang telah termaktub semenjak 44 tahun yang lalu. Ia memberi kejelasan tentang bagaimana sesebuah karya dibina dengan landasan dan arah tuju yang nyata. Model ini cuba melakukan penambahbaikan dari kedua-dua model OU dan KUPK. Kecelaruan era postmodern yang melanda dunia Seni Rupa Malaysia harus ditangani di peringkat paling dasar maka perlunya satu garisan panduan yang jelas untuk digunapakai oleh setiap pelajar seni rupa juga artis seni rupa. Jika gagasan KKK1971 merupakan konsep pemikiran maka model Piramid Seni merupakan model tindakan yang mampu digunapakai bagi mengatur gerakan artis seni rupa Malayasia di dalam berkarya.



Rajah 4: Model Piramid Seni





Dalam model Piramid Seni, konsep sebuah piramid telah digunapakai. Terdapat tiga bahagian utama yang dibina di dalam model ini. Pertama tapak/dasar. Kedua empat tiang asas dan ketiga adalah puncak. Bahagian tapak/dasar dimulakan dengan garisan dari A ke B. Garisan ini mewakili elemen dasar yang paling penting iaitu ugama. Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa "Ugama Islam ialah ugama rasmi bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan". Perkara 11 mengenai Kebebasan Ugama pula menyatakan "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya". Ini bermakna walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasminya, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan, bebas  mengamalkan kepercayaan masing-masing[10]. Makanya tapak/dasar yang pertama ini harus bermain di dalam pemikiran atau tindakan yang ingin dijadikan idea atau gagasan didalam karya Seni Rupa. Diikuti garisan dari B ke C yang mewakili dasar budaya. Ini adalah lanjutan dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan  (DKK) telah digubal dalam tahun  1971 iaitu pada tanggal 16 -20 Ogos 1971.  Ianya lahir daripada gagasan Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (1971). Tiga prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan sebagai Dasar Kebudayaan Kebangsaan iaitu:
a. Kebudayaan Kebangsaan  Malaysia hendaklah berteraskan  kepada  kebudayaan rakyat asal rantau  ini.
b. Unsur  kebudayaan  lain  yang  sesuai  dan  wajar  boleh  diterima  menjadi  unsur  kebudayaan  kebangsaan.
c. Islam  menjadi  unsur  yang penting  dalam pembentukan  kebudayaan  kebangsaan. 

Dasar ketiga diwakili oleh garisan dari C ke D iaitu dasar ‘Masyarakat’. Pendekatan semasa yang harus dinilai semula oleh setiap artis adalah sejauh manakah setiap hasilan karya mereka mampu menyumbang untuk masyarakatnya, samaada dari segi sumbangan fizikal maupun pemikiran. Dalam iklim seni di Malaysia keupayaan masyarakat untuk ‘merestui’ pelbagai jenis kesenian amatlah meragukan terutamanya apabila berbicara soal seni rupa. Malahan sikap pandangan serong ini bukan hanya wujud di kalangan masyarakat biasa tetapi di peringkat yang mampu membuat dan menentukan dasar. Golongan seniman seringkali menunding jari kepada kelompok masyarakat yang sebegini, namun berapa ramai yang mengakui tentang kurangnya komitment mereka untuk berkarya didalam pemahaman serta sumbangan kepada masyarakat mereka. Pemikiran bahawa karya seni harus terpamer di galeri-galeri elitis dan bukannya di ruang-ruang terbuka atau paling tidak di ruang balai raya kampong masih tertanam kukuh di dalam jiwa seniman Malaysia. Malahan kekerapan penolakan pihak pembuat dasar terhadap cadangan sesuatu karya, menjadi indikator pergerakan seni yang bergerak dalam kerangka elitis juga tidak cukup membawa masyarakat untuk memahami kepentingan seni di dalam masyarakat. Oleh hal yang sedemikian tapak/dasar ‘Masyarakat’ harus menjadi landasan utama artis untuk berkarya. Tapak/dasar keempat yang ditonjolkan di dalam model Piramid Seni adalah ‘Intlektual’. Dunia abad ke 21 telah menjurus kepada K-ekonomi (knowledge-ekonomi), menyebabkan dasar pendidikan Negara turut berubah, lantas Malaysia menyasarkan negara berpendidikan tinggi sebagai satu KPI yang ingin dicapai agar Malaysia mampu menjadi negara maju. Maka dalam model Piramid Seni justifikasi ‘Intlektual’ sebagai salah satu tapak/dasar untuk membina karya amatlah bertepatan. Seniman yang serius perihal intlektual mampu mengorak langkah lebih bermenafaat di dalam karya-karya mereka.
Kempat-empat garisan yang bermula dengan ABCD telah menjadi tapak/dasar yang menguatkan pemikiran artis dalam merangka kerja seterusnya iaitu menegakkan tiang karya seni mereka. Empat dasar yang diberi selain menjadi tapak pemikiran artis, ia juga dilihat sebagai benteng untuk menahan kemasukkan  pengaruh negatif yang boleh merosakkan. Benteng ini juga sebagai penahan dari keluarnya perkara positif yang sedia ada.
Bahagian kedua Piramid Seni adalah yang berkaitan tentang fizikal atau bentukan karya. Terdapat empat tiang utama diperkenalkan. Ini berbeza dari tiga kompenen yang terdapat didalam model OU oleh Ocvrik. Tiang pertama  ditunjukkan dengan garisan dari A ke E, dikenali sebagai subjek/objek/alam. Tiang pertama ini dapat disamakan dengan komponen subject dalam model OU. Alam dimasukkan kedalam tiang ini adalah untuk memberi penekanan apa jua subjek atau objek yang dilihat atau dikaji adalah berasal dari  kejadiaan alam yang bukan dicipta oleh manusia. Tiang kedua bermula dari B ke E yang dikenali sebagai tiang Formalistik/tersurat. Seperti dalam model OU tiang ini juga bersifat elemen dan prinsip-prinsip rekaan, ia menjadi teras kepada olahan sesebuah karya, bagaimana artis menyusun dan memilih akan menentukan kewujudan sesebuah karya seni rupa. Namun dalam model Piramid Seni tiang BE ditambah dengan elemen tersurat. Ianya memperjelaskan bagaimana gambaran atau imej yang dihasilkan dapat memberi kefahaman secara luaran. Tiang ketiga dari C ke E menjadi ‘tiang’ ‘Makna/tersirat’. Apa yang ingin disampaikan adalah merupakan gagasan seorang artis yang dibawa oleh tiang tersebut. Tiang ini membawa makna-makana tersirat disebalik yang tersurat. Dalam model Piramid Seni  pengkaji telah menambah satu tiang iaitu ‘tiang artis’, Ini tidak wujud didalam OU manakala dalam model KUPK artis turut tidak diwujudkan, namun Tengku Sabri meletakkan didalam satu lagi model penyokong. Artis menjadi unsur yang sering kali dilupakan setiap kali apabila perancangan untuk berkarya di lakukan . Apa yang dimaksudkan adalah apabila sesebuah karya yang terpapar di dinding-dinding, sepintas lalau ianya adalah sebuah catan kanvas atau ketulan batu (jika arca) secara fizikalnya, tetapi yang sebenarnya tergantung di dinding adalah artisnya dan yang terletak di pedestal adalah pengarcanya. Sampai satu ketika ketidakwujudan karya boleh digantikan dengan kewujudan artisnya. Dapat disimpulkan empat tiang utama ini mempunyai kekuatan serta peranannya masing didalam menyumbang kewujudan sesuatu karya seni rupa. Dan bahagian ketiga adalah puncak piramid  E yang mendukung karya seni di atasnya.
Ringkasnya Piramid Seni dapat dimengerti sebagai sebuah model yang mengandungi tiga bahagian utama, empat unsur yang menjadi dasar pemikiran, empat unsur menjadi dasar pembinaan, dan kemuncaknya adalah kelahiran sebuah karya Seni Rupa yang mantap dari segi yang tersurat dan tersirat.

Kesimpulan
Kajian ini telah membuat analisa dua model yang sering dilihat dan diamalkan oleh kebanyakan artis Seni Rupa. Namun begitu bagi menangani dunia globalisasi yang menyerang segenap bidang, kedua-dua model tersebut harus dilihat semula agar ia mampu berfungsi dalam konteks artis postmodern Malaysia. Model Piramid Seni dibangunkan dengan membawa konsep sebagai benteng penahan kemasukan yang negatif juga benteng penahan dari keluarnya yang positif. Dengan tapak yang mempunyai empat elemen dasar iaitu ugama, budaya, masyarakat dan intlektual, diharapkan dapat memeri kekuatan pemikiran untuk artis mencari idea kemudiannya disalurkan di dalam karya-karya  mereka. Bentukkan karya akan didukung oleh empat tiang utama iaitu subjek, aspek formal, makna, dan artis. Kekuatan dari pemikiran dan kekuatan dari kerja praktik yang didasarkan dari model Piramid Seni akan lahirlah karya seni yang bertunjangkan pemikiran tempatan namun bergerak kehadapan dalam kerangka “thinking local , Acting Global”.

Rujukan;

Anwar Din. 2007. Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu. Bangi: Universiti  
          Kebangsaan Malaysia.

Ocvirk Otto G.,Stinson R.E.,Wigg P.R., Bone R.O., Cayton D.L. 1994. Art
            Fundamentals Theory & Practice. Edisi Ketujuh. UK: Wcc Brown &
            Benchmark Publishers.

Ragans,R. 2000. Art Talk, USA: Glencoe/McGraw-Hill

Rosli Zakaria. 2014. Membina Karya Melalui Proses Berfikir dalam Tunas Ilham 13, Melaka; 
            FSSR UiTM Melaka.

Siti Zainon Ismail. 2007. Seni Rupa. Dlm Anwar Din (pnyt.). Asas Kebudayaan dan
            Kesenian Melayu, hlm 221-235. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan
            Malaysia.

Slamet Subiyantoro, 2011. Antropologi Seni Rupa- Teori, Metode, & Contoh Telaah Analitis. Surakarta. UNS Press.

Syed Ahmad Jamal. 1992. Rupa & Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tengku Sabri Ibrahim. 2009. Tanpa Tajuk; Cerita-cerita Seni Rupa. KualaLumpur:
            Tinta Publisher.

Zainuddin Abindinhazir, Prof. Dr. Dzul Haimi Md Zain, 2013. Pemikiran Barat Dalam Seni    
            Arca Sezaman Malaysia dalam ProsidingSeminar Antarabangsa Ke2, Arkeologi Sejarah  
           dan  Budaya di Alam Melayu, Institut Alam ,UKM, Bangi








[1] Penulis Buku Antropologi Seni Rupa- Teori,Metode & Contoh Telaah Analitis. Lulusan PhD Antropologi Budaya dari UGM Yogyakarta. Banyak menghasilkan buku yang berkaitan tentang kesenian, Banyak menulis di dalam jurnal di peringkat kebangasaan.
[2] Hasnol J Saidon, 2014, Melihat Kebenarad Di Sebalik Hijab, Laporan bakat Muda Sezaman 2013, BSVN, Kuala Lumpur.
[3] penelitian deskriptif adalah penelitian yang bertujuan untuk  menjelaskan atau mendeskripsikan suatu keadaan, peristiwa. Data2 diperolehi  dari bahan-bahan atau dokumen bercetak.
[4] Penelitian komparatif adalah penelitian yang bersifat membandingkan. Penelitian ini dilakukan untuk membandingkan persamaan dan perbedaan dua atau lebih fakta-fakta dan sifat-sifat objek yang di teliti berdasarkan kerangka pemikiran tertentu.
[5] Di ambil dari buku  Art Fundemental Theory & Practice,  Seven Edition, Otto G.Ocvirk,1994.
[6] Tengku Sabri Ibrahim. 2009. Tanpa Tajuk; Cerita-cerita Seni Rupa. KualaLumpur: Tinta Publisher.

[7] Tengku Sabri Ibrahim. 2009. Tanpa Tajuk; Cerita-cerita Seni Rupa. KualaLumpur: Tinta Publisher.

[8] Model ini telah diperkenalkan pertama kali oleh penulis didalam katlog Tunas Ilham 13 dengan nama modelnya Piramid Karya Seni
[9] Zainuddin Abindinhazir, Prof. Dr. Dzul Haimi Md Zain. Pemikiran Barat Dalam Seni Arca Sezaman Malaysia dalam ProsidingSeminar Antarabangsa Ke2, Arkeologi Sejarah dan Budaya di Alam Melayu. Kertaskerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Arkeologi Sejarah dan Budaya, UKM Bangi. 26-27 November 3013.