Tuesday, May 1, 2012

Perkembangan Arca Awam di Malaysia


MENINJAU PERKEMBANGAN ARCA AWAM DI  MALAYSIA
Oleh Rosli Zakaria

(Tulisan ini telah dikeluarkan di dalam katlog pameran JAGA -pameran Arca,terbitan BSVN-2011, dilakukan sedikit penambahbaikan)

Kulit luar  katlog Pameran Arca JAGA




















PENGENALAN
Penulisan ini merupakan kajian ringkas tentang perkembangan arca awam yang berlaku di Malaysia. Kajian dibuat berdasarkan data-data kewujudan arca awam yang masih terhad penghasilannya, dengan memberikan fokus kepada  lokasi Bandaraya Kuala Lumpur dengan alasan di situlah pusat perkembangan yang jelas  disamping itu kajian turut melihat kemunculan arca awam di beberapa buah negari yang dirasakan signifikan.
Ruang lingkup dunia Seni Rupa Malaysia mudah dibuka dan diamati kerana jarak masa yang tidak begitu jauh ditinggalkan. Dengan mengambilkira pandangan sejarawan seni yang membina batu tanda 1930an sebagai permulaan Seni Lukis Moden Malaysia T.K Sabapathy (1976), Piyadasa (1976), Muliyadi Mahamood (2001), Mohamed Ali Abdul Rahman (2000), maka baru 70an tahun usianya. Namun diakui usia yang sebegini sememangnya telah punya pengalaman serta kematangan yang bukan kepalang. Dalam waktu yang sama  melihat seni yang belum ditandai dengan batu tanda moden tadi turut berlaku. Syed Ahmad Jamal (1992) dengan Rupa dan Jiwa mengupas penuh kehalusan hasilan Seni Rupa Melayu yang sebelumnya dipandang sebagai barangan kraf semata. Keilmuan dari barat digunapakai oleh Syed Ahmad Jamal untuk mengupas keunggulan seni rupa Melayu yang dikatakan jelmaan unsur-unsur dari alam semula jadi kepada satu bentuk karya seni rupa. Mengambil kira pendapat
Clive Bell yang merumuskan bahawa melalui kesenian, kita dapat membuat kesimpulan tentang mereka yang menghasilkannya. Maka sisi kebudayaan sesuatu bangsa mampu terungkai dengan melihat hasilan seni rupa melayu sperti  sonngket, tembikar, kerja tangan logam, ukiran, senjata, tekatan, sulaman, anyaman, tenunan, wayang kulit, seni khat , arca dan seumpamanya. (Syed Ahmad Jamal 1992). Siti Zainon Ismail 2008, melihat kewujudan bentuk-bentuk tiga dimensi yang ada di sekeliling masyarakat Melayu dahulu merupakan bukti  bentuk arca tradisi telah wujud sekian lama.[1]
Seperti yang ditulis di awal perengan angka 1930 telah dinobatkan sebagai bermulanya dunia Seni Rupa Moden Malaysia. Seolah-olah punya dua kelompok seni yang terpisah , satu yang bersifat tradisi yang lebih santai dan dekat dihati masyarakat  dan satu lagi yang bersifat moden (dalam kerangka barat), agak terasing bagi sesetengah masyarakat, hanya golongan tertentu yang mampu mendekati dan menikmati. Lantas dikatakan seni moden in bersifat elitis. Baha Zin 1995 menyatakan;  “Perkembangan kesenian moden malangnya terasa terpencil dan terasing daripada khalayaknya. Ini diperkuatkan lagi oleh perjuangan dan idealisme seniman yang percaya bahawa seni yang autentik adalah seni yang memberikan pengungkapan yang tulen terhadap gagasan, persepsi, dan pengalaman emosi pengarangnya. Tidak kira apakah hasilnya memancarkan masalah, aspirasi, atau predikamen bangsanya atau tidak. Kebebasan pencipta adalh lebih berdaulat daripada nasib masyarakatnya.[2]
Untuk mewajarkan dunia seni moden Malaysia ini maka pendefinasian serta terma-terma dari barat  digunapakai, lalu kita dikenalkan dengan disiplin seni moden yang dicedok dari barat. Painting diterjemahkan dengan catan
Drawing diterjemahkan dengan  Lukisan, Sculpture diterjemahkan dengan arca ,print making diterjemahkan dengan seni cetak. Empat disiplin asas ini digunapakai dalam sekolah-sekolah seni yang tumbuh dari pemikir yang  pernah bersekolah di barat. Malahan kiblat ke barat masih membara walaupun cuba dipadam dengan gagasan pandang ketimur Tun Mahathir. Penulis tertarik dengan kata-kata Zin Mahmud yang menyatakan negara Britin itu masih dekat di hati segelintir masyrakat yang pernah dijajah olehnya terutamanya dalam bidang-bidang seperti ekonomi, pendidikan dan keselamatan.[3]

APA ITU ARCA DAN APA ITU ARCA AWAM
Menggunakan istilah arca yang diterjemahkan dari ‘sculpture’ , dapat didefinisikan secara ringkas ia sebagai sebuah karya seni yang berbentuk  tiga dimensi  atau timbulan. Bahasa Yunani lama ‘sculpere’ memberi makna mengukir, menebuk, memotong . memodel menggunakan tanah liat atau lilin  untuk membina figura secara timbulan atau tiga dimensi. Gaunt 1966, Ocvirk 1994. Definisi arca berubah mengikut peredaran zaman ianya bukan hanya sekadar mengukir dan memodel, di era moden apa jua bentuk yang melibatkan ruang tiga dimensi dengan teknik yang pelbagai seperti  kimpalan,  cantuman, jahitan , ketukan, lekatan dan sebagainya. Bentuk-bentuk arca di zaman Michelangelo berubah dengan arca-arca Konstruktif, kinitik, minimilis, installation, ‘site specifik’, public art, environmental art , video art, eletronik  art.
Seni Arca Awam pula boleh dimengertikan sebagai sebuah hasilan seni  yang diletakkan di ruang terbuka. Ianya merupakan satu bentukan seni yang berfungsi dalam dimensi ruang yang menyeluruh. Ianya berlatarbelakangkan ruang persekitaran. Kegiatannya lebih tertumpu di luar sistem galeri, penghayatannya lebih bertumpu kepada masyarakat secara terbuka, bersifat kekal dan mementingkan keperluan tertentu untuk memastikan kewujudannya  bersesuaian dengan faktor cuaca, keselamatan dan penyelenggaraan.
Robert Atkins (1945), menyatakan Public Art is simple art produce for and own by community. Manakala  Meel Goding (2000 )menyatakan Public Art merupakan sebuah karya untuk ruang umum dan ditaja secara spesifik dengan khayalaknya adalah orang ramai. Ia menampilkan cabaran serta melibatkan kerjasama antara pengarca, akiterk, orang ramai, penaung seni dan perlu  sensitif tentang persekitaran dan konteknya..
Bagi Daniel Robins penggunaan istilah ‘Public Sculpture’ mula digunakan pada tahun 1976 merujuk kepada perkembangan sejarah awal arca awam di Amerika (1893). Ramlan Abdullah menyatakan perihal arca awam di Malaysia;
Public sculptures in Malaysia are often monumental and free standing, most of the public sculpture were commissioned by local municipals, art galleries or interested party in relaying their messages to the general public. Ramlan Abdullah( 2010)
Kewujudan arca awam dikatakan mampu memberi impak ataupun suatu ingatan kepada khayalak, dalam ertikata lain ianya merakamkan sesuatu perkara ataupun peristiwa. Seorang pengarca juga ahli akademik Cheng Yunxian[4] (1998) antara lain menjelaskan betapa hasilan arca awam mampu menjadi penanda sesuatu bagi genarasi mendatang. “ I do portraits of well known fiugure.  Recently I did of chairman Mao Deng Xiaoping, and some Generals. All of them made great contribution to development and progress of new China. And are highly respected by the Chinese. I show their demeanor and expression to the people and these statues are left for the future generation”
Persekitaran yang sedang membangun merupakan satu situasi yang tepat untuk menghasilkan sesebuah karya yang bermakna, ianya bukan hanya sekadar soal  keindahan tetapi harus membias, menyedarkan, mengukuhkan serta mencabar imaginasi dan seterusnya memberi insipirasi untuk mencapai sesuatu yang tinggi nilainya. Sesuatu peristiwa penting seperti 31 Ogos 1957 harus dikupas dan dimonumenkan dalam bentuk arca, begitu juga peristiwa yang menyedihkan seperti peristiwa 13 Mei .  Syed Ahmad Jamal 1996[5]

PERKEMBANGAN ARCA AWAM DI MALAYSIA

Dalam melakukan kajian tentang perkembangan arca awam di Malaysia, tidak dapat tidak harus bermula dengan melihat  latarbelakang dan perkembangan dunia senilukis Malaysia itu sendiri. Dalam konteks seni arca, pergerakannya jika dibandingkan dengan catan, agak terkebelakang khususnya di tahun-tahun 1960an dan 1970an. Antara punca situasi ini adalah diandaikan ianya berkaitan dengan larangan agama yang menegah  penampilan figura manusia dan haiwan dalam penghasilannya (T.K. Sabapathy, 1976) . Namun begitu ianya bukanlah suatu yang faktor yang tunggal dan jelas.  Antara faktor lain yang melambatkan perkembangan seni arca adalah proses yang rumit untuk menghasilkannya, kesukaran mendapatkan bahan serta kekurangan fasilitis dan akhirnya faktor kuranganya minat kollektor seni untuk  membeli arca. Pemahaman yang cetek serta kekeliruan sering timbul tentang definisi arca dalam Bahasa Malaysia. Arca dikelirukan dengan patung berhala, figura dan konsepsi avant garde secara cetek di mana bahan buangan, kayu teras dan ketulan batu diterima sebagai arca. (Baharuddin Arus 1998). Muliyadi Mahamood 2001 menyatakan antara lain faktor penyebab  lambatnya pergerakan arca di Malaysia adalah kerana kurangnya penekanan bidang pendidikan. Sementara Reda Piyadasa dan Sulaiman Esa mengatakan bahawa
“ pada amnya ketiadaan penglibatan dalam seni arca selama ini dikalangan seniman kita, pasti menunjukkan bahwa mereka itu, selama ini, tidakberapa minat dalam dimensi reality yang pelbagai itu, tidak seperti mana dalam penghasilan gambar-gambar molek yang akan digantungkan di dinding” [6]

Tengku Sabri sering menyatakan perihal  konsep seni arca Malaysia yang terlalu berkiblatkan kebaratan menyebabkan nili seni kraf  tempatan terpinggir dan kekal sebagi seni kraf yang hanya berkembang sebagai  hasilan untuk cendermata dan hiasan. Beliau acapkali meninggalkan persoalan sampai bila pengkarya, sejarawan dan para pendidik akan merujuk pemikiran barat dalam setiap perilaku dan perkembangan seni arca itu sendiri.
Beberapa kenyataan di atas  menjadi titik tolak kepada pembicaraan tentang latar belakang  sejar perkembangan seni arca awam di Malaysia. Untuk memudahkan huraian, penulis telah membahagikan kepada tiga fasa utama iaitu, Fasa Pengenalan-Era Penjajahan (1857-1957), Fasa Pembangunan- Era merdeka (1957-1990)dan Fasa Perkembangan -Era kontemporari ( 1990- Kini).


FASA PENGENALAN - ERA PENJAJAHAN (1857-1957)
Dalam konteks arca  tidak muncul sebarang  usaha untuk menghasilkan karya ditahun-tahun awal ini, namun begitu Inggeris telah memperkenalkan bentukan baru ini dalam konteks arca awam, satu istilah yang tidak difahami dan dimengerti ketika itu. Pembinaan tugu potrait ‘Francis Light’ di Pulau Pinang(1938), ‘Frank Swetthnem’(1921) di Kuala Lumpur, ‘Robert Walker’(1910) di Perak dan ‘Stamford Raffles’(1887)  di Singapura. Ini semua merupakan arca tokoh-tokoh  Inggeris yang melambangkan keangkuhan serta tanda kewujudan  British di Tanah Melayu. Ketika itu  arca tersebut berdiri sebagai manifestasi keberadaan mereka menjajah Malaysia, tokoh-tokoh tersebut dilambangkan sebagai peneroka dan pemberi sumbangan besar kepada Tanah Melayu .
Di Kuala Lumpur arca “Frank Swethnam” (1921) telah dibina dengan dibiayai rakan kenalan beliau  ketika itu , ia dihasilkan di London oleh seorang pengarca terkenal British iaitu Charles Leonard Hartwell (1873-1951). Arca itu kemudianya telah dibawa ke tanah melayu serta dipamerkan dan dibawa balik ke Tanah Melayu serta dipamerkan di hadapan bangunan  Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor, mengadap ke Kuala Sungai Gombak dan  Sungai Kelang.  Arca tersebut telah dirasmikan pada  19 Januari 1921. Ketika pendudukan Jepun arca tersebut telah diubah dan disimpan oleh pihak Jepun. Apabila British kembali memerintah  arca tersebut  dipelihara dan dletakkan semula di tempat asalnya , kini ‘Frank Swethnam’ berdiri di perkarangan Muzium Negara.  
Arca “Francis Light”(1938) telah dibina di Pulau Pinang,  dihasilkan oleh F.J Wilcoxsan dan Thoms Ditton di Burton Foundry England. Pengarca menggunakan wajah anak sulung Francis Light sebagai model disebabkan tiada gambar rujukan rupa sebenar  Frincis Light. Arca ini di peringkat awal diletakan di Kota Cornwallis tapak pendaratan Francis Light di Pulau Pinang pada tahuan 1786. Pernah dipindahkan ke  Bangunan Makhmah Tinggi dan selepas perang dunia kedua pada tahun 1965 arca tersebut diletakkan di Muzium Negeri. Pada tahun 2003 Jabatan Muzium dan Antikuiti telah  meletakkan kembali arca tersebut ke tempat asalnya hingga kini. Pendudukan Jepun memberikan sedikit cerita kepada arca ini.
“sekiranya dilihat pada patung berkenaan didapati bahawa pedang yang tersisip di pinggang patung itu telah tiada. Ini kerana semasa penaklukan tentera Jepun  di Pulau Pinang pedang tersebut telah dilebur untuk dijadikan alat kelengkapan perang oleh tentera Jepun.”[7]
Arca “Robert Walker” (1910) dibina di Taiping Perak. Arca ini juga telah dihasilkan oleh Charles Leonard Hartwell (1873-1951) seorang pengarca British. Arca yang dibina atas sumbangan Sultan Perak dan Selangor turut disumbangkan rakan-rakan beliau yang terdiri dari tokeh-tokeh cina dan pegawai-pegawai dari Rejiman Askar Melayu. Arca ini dibina sempena persaraan beliau selepas 31 tahun berkhidmat di Tanah Melayu. Arca  ini kini diletakkan di perkarangan muzium Taiping Perak.
Arca “Stamford Raflles” (1887) di Singapura telah dihasilkan  oleh pengarca British Thomas Woolner. Dengan ketinggian 8 kaki arca ini popular sebagai ikon  untuk Singapura. Bekas perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew pernah menyatakan arca itu sebagai simbol penerimaan masyarakat tentang legasi British dan memberi kesan positif kepada pembangunan masa hadapan Singapura.  Arca ini mempunyai nama timang sebagai orang besi ‘iorn man’ dan telah dialihkan beberapa kali termasuklah ketika pendudukan Jepun. Kini arca tersebut kekal di hadapan bangunan Victoria Theater. Sempena perayaan ke 150 tahun penemuan Singapura, arca tersebut disalin (casting) semula menggunakan white polymarbel, diletakkan di North Boat Quay lokasi yang dipercayai tempat Stamford Rafles mendarat. Maka terdapat dua versi arca Stamford Rafless di Singapura versi hitam dan versi putih. Terdapat satu lagi arca “Raffles” dalam posisi sedang duduk di  Westminster Abbey, telah dihasilkan oleh Sir Francis Chantrey pada tahun 1832. Arca ini diperbuat daripada bahan marmar.



Antara arca awam yang awal di Malaysia. 4 tokoh penjajah British yang diagungkan menggunakan medium arca awam dengan tujuan mengesahkan keberadaan serta persepsi mereka sebagai hero di Tanah Melayu. Atas kiri Francis Light, atas kanan Frank Swethnam. Bawah kiri Stamford Raffles, bawah kanan Robert Walker.

Selain arca berbentuk figura, di Kuala Lumpur terdapat sebuah arca timbulan cukup menarik untuk dikaji. Arca dinding (timbulan) terdapat di bangunan Rubber Research Institute of Malaysia (RRIM) di Jalan Ampang.  Di bahagian dinding kiri dan kanan bangunan perpustakaannya terdapat karya arca timbulan yang mempaparkan tentang sejarah perkembangan getah. Arca tersebut dibentuk sebanyak 7 panel mengikut struktur dinding bangunan yang sedia terbahagi kepada tujuh, setiap panel mempunyai imej-imej yang menceritakan perkembengan getah dari semasa ke semasa. Arca ini tidak mempunyai tajuk dan ianya merupakan antara karya arca awam terawal yang bertemakan sejarah, Terdapat wajah Henry Wickham  di salah satu panel yang berlatarbelakangan peta berazil dan kapal laut, merujuk kepada kedatangan getah dari Brazil. Dipercayai di hasilkan dalam tahun 1936 Dihasilkan dalam tahun 1930 oleh pengarca Itali Rudolfo Noli[8]. seiringan dengan pembinaan bangunan tersebut. Malahan bangunan tersebut telah di gazetkan oleh kerajaan sebagai salah satu warisan negara pada tahun 2008.  

Selain arca berbentuk figura, di Kuala Lumpur terdapat sebuah arca timbulan cukup menarik untuk dikaji. Arca dinding (timbulan) terdapat di bangunan Rubber Research Institute of Malaysia (RRIM) di Jalan Ampang.  Di bahagian dinding kiri dan kanan bangunan perpustakaannya terdapat karya arca timbulan yang mempaparkan tentang sejarah perkembangan getah. Arca tersebut dibentuk sebanyak 7 panel mengikut struktur dinding bangunan yang sedia terbahagi kepada tujuh, setiap panel mempunyai imej-imej yang menceritakan perkembengan getah dari semasa ke semasa. Arca ini tidak mempunyai tajuk dan ianya merupakan antara karya arca awam terawal yang bertemakan sejarah, Terdapat wajah Henry Wickham  di salah satu panel yang berlatarbelakangan peta berazil dan kapal laut, merujuk kepada kedatangan getah dari Brazil. Dipercayai di hasilkan dalam tahun 1936 Dihasilkan dalam tahun 1930 oleh pengarca Itali Rudolfo Noli[1]. seiringan dengan pembinaan bangunan tersebut. Malahan bangunan tersebut telah di gazetkan oleh kerajaan sebagai salah satu warisan negara pada tahun 2008.  
­­

Arca dinding yang terdapat di bangunan RRIM Jalan Ampang.

Bangunan stesen keretapi di Tanjong Pagar turut terdapat karya–karya arca timbulan  di bahagian hadapannya. Arca timbulan tersebut mempunyai empat imej figura di setiap tiang bahagian hadapan bangunan.  Arca timbulan tersebut membawa simbol pertanian, perdagangan, pengangkutan dan industri. Pengarca Angelo Vannetti* dengan kerjasama dari firma Raoul Bigazzi (pembekal marmar dan gangsa)  telah mengukir arca timbulan tersebut. Berbeza dengan arca timbulan di bangunan RRIM yang mempunyai timbualan yang rendah (low relief ), arca timbulan di KTM ini tinggi menonjol keluar (high relief) Disamping itu terdapat mural di kedua-dua dinding yang tinggi pada ruang menunggu di dalam bangunan, mural tersebut  menggambarkan sisioekonomi di Tanah Melayu ketiku itu. Lakaran aktiviti perlombongan timah, sawah padi, penanaman getah dan tongkang China yang sedang berlabuh mengingatkan asal usul Singapura yang berada dalam Tanah Melayu suatu waktu dulu. Bangunan yang dibina dalam tahun 1932 itu ia tetap membawa identiti Tanah Melayu. [2]


Arca timbulan (high relief) yang terdapat di bangnan KTM di Tanjung Pagar

Secara umumnya di era ini kewujudan arca  awam amatlah terhad dan di bawa oleh penjajah secara fizikal dan mental. Pengarca dan arcanya didatangkan dari luar negara. Ianya lebih kepada manifestasi pemikiran penjajah ketika itu.  Arca yang dihasilkan lebih tertumpu kepada bentukan figura tokoh-tokoh yang disanjung British manakala bangunan  menjadi antara lokasi menghasilkan arca timbulan yang merakamkan peristiwa semasa. Era ini merupakan fasa pengenalan kepada khyalak perihal arca awam di Malaysia. Tidak hairanlah persepsi yang mengatakan arca itu adalah patung kerana penjajah telah memperkenalkan karya arca dalam bentukan manusia di peringkat awal lagi.

FASA PEMBANGUNAN- SELEPAS MERDEKA 1957-1980
 “Di Malaysia selepas merdeka, pengaruh abstrac expressionist, expressionist dan pop ini tersebar melalui pelukis muda yang memperolehi pendidikan dari luar negara. Kebanyakan arcawan yang meneroka ke luar negara, seringkali dipengaruhi konsep semasa. Misalnya Anthony Lau ghairan dengan aliran vitalisma Henry Moore dan Barbara Hepworth, Latiff Mohidin dengan German ekspressionisnya, Piyadasa dengan arca Marcheal Duchampnya dan Syed Ahmad Jamal dengan pengaruh Raushenberg.” Baharudin Arus (1998) [3]

Much has change in both Malaysia and the art world since 1976 when most Malaysian sculptor would have receved their training in the West.[4].
Beberapa arca awam menjadi dominan di era awal kemerdekaan, salah satu yang menjadi amat penting adalah Tugu Negara. Arca awam ini seringkali di jadikan sebagai satu monumen lambang keperwiraan askar melayu menentang
komunis . Telah dibina dalam tahun 1966 oleh pengarca British Felix de  Weldon. Pengarca yang terkenal dengan arca-arca awam berlandaskan  ketenteraan ini telah diminta oleh Tunku Abdul Rahman untuk membina  satu monumen yang menjadi ingatan tentang pengorbanan askar melayu menentang komunis. Arca dari bahan gangsa setinggi 24’ terletak di Tasik  Perdana berhampiran satu lagi simbol negara iaitu bangunan Parlimen. Sementara itu di dalam kawasan taman  Bangunan Parlimen terdapat sebuah arca yang mempaparkan imej Tunku Abdul Rahman gagah berdiri sambil memegang  dokumen penubuhan Malaysia. Arca in telah dihasilkan  pengarca yang sama membina Tugu Negara iaitu Felix de Weldon pada tahun 1967 setahun selepas beliau membina tugu negara.






Perbandingan arca  “Marune Corps War Memorial”[5] yang di reka oleh Felix De Weldon, di sebelah kiri dan Tugu Negara di sebelah..

Sebuah arca timbulan telah dihasilkan oleh Butler( 1965), arcawan dari British di bangunan Lembaga Getah Malaysia di jalan Ampang berhadapan KLCC, karya yang diperbuat dari bahan gangsa itu menggunakan imej figura dalam pelbagai aktiviti ekonomi dan sains. Terdapat kata-kata yang menarik di atas arca timbulan tersebut,
“ Getah Asli Tumboh Subor di Bumi Malaysia. Hasil daripada Tilek Jangka Tenaga dan Sains”.[6]
Penubuhan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka , Institut Tekonologi Mara dalan tahun 1967 seterusnya kewujudan kursus seni halus dalam tahun 1971 menjadi pemangkin kepada gerakan seni arca Awam di Malaysia. Awal tahun 1980an lahir beberapa orang pengarca dari institut tersebut seperti Zakaria Awang,  Arrifin Mohd Ismail dan Mad Anuar. Mereka mengetuai gerakan  seni arca  dengan melahirkan karya-karya yang berjiwa tempatan walaupun dengan pendekatan dan teknik  yang dipinjam  dari barat. Baharuddin Arus 1998.
 Ariffin Mohd Ismail  telah menghasilkan arca awam  berbaur tempatan dengan imej keris pekaka, bunga raya,batu pedang dan batu besurat  pada tahun 1982 di Arkib Negara. Karya arca dinding beliau di bangunan KUWASA Jalan Raja Laut mempunyai kekuatan dari segi ikonografinya. Karya tersebut telah dihasilkan melalui pertandingan yang dianjurkan pada tahun 1985. Selain itu pelukis perintis seperti Syed Ahmad Jamal turut mendapat pengiktrafan untuk menghasilkan arca awam di Taman UMBC, arca “Lunar Peak” telah dihasilkan dalam tahun 1985.


Arca oleh Ariffin Mohd Ismail di Arkib Negara

Di samping itu USM turut berperanan dalam perkembangan seni arca di Malaysia Ini dilihat berdasarkan kewujudan  program  Seni Halus di bawah sekolah Kemanusiaan dalam tahun 1970 walaupun dilihat lebih kearah program pensejarahan  namun dalam tahun 1973 seorang pensyarah juga pengarca dari Australia iaitu Peter Gelencser telah dilantik sebagai pensyarah dan beliau telah memperkenalkan disiplin arca. Sepanjang 4 tahun di USM beliau telah menghasilkan dua buah arca awam iaitu ‘Transformation’ yang kekal di kampus USM hingga kini dan sebuah arca Tunku Abdul Rahman  yang diletakkan di bangunan kerajaan Kucing Serawak. Kedua-dua arca ini dibuat daripada bahan mar-mar dari  Baling dan Itali.
Transformation ,1974 daripada bahan marmar

Simposium Arca ASEAN kali ke 5 telah diadakan di Kuala Lumpur pada 19 julai hingga 1 september 1987. Ini merupakan acara yang penting dalam sejarah arca awam di Kuala Lumpur maupun Malaysia. Simposium ini merupakan  satu-satunya aktiviti yang secara langsung menekankan pembinaan arca awam, ia juga menjadi titik tolak kepada pemahaman bagaimana arca awam mampu menyumbang pemikiran seniman kepada negara.
Sebanyak 6 buah arca awam telah di hasilkan bertempat di taman berhampiran tugu negara. Antara pengarca yang terlibat adalah Syed Ahmad Jamal dari Malaysia dengan karya arca bertajuk “growth”, Abu Bakar Abdul Rahman dari Berunai Darussalam dengan karya arca bertajuk  “The Dance”, Indonesia diwakili oleh Dolorosa Sinaga dengan arca bertajuk “The Gate of Harmony”. Jerusalino V. Araos dari Filipina telah menghasil arca bertajuk “Barong-Barong”. Han Sai Por dari Singapura dengan arca dari bahan batu bertajuk “Towards Peace” dan dari Thailand pengarca Itthi Khongkhakul telah  membina arca  yang dinamik dengan tajuk ‘Progress’. Dikenali sebagai Laman Asean kenam-enam arca yang telah dibina melalui Simposium Arca ASEAN ini menjadi rujukan penting dalam perkembangan arca awam di Kuala Lumpur maupun Malaysia.
Atas kesedaran peri pentingnya kewujudan arca awam mampu menjadi simbol koporat (koporat images), Abdul Lattif Mohidin telah ditauliahkan (comission) oleh Maybank untuk menghasilkan sebuah arca “Keris’ 1987 di kawasan taman Menara Maybank. Dengan mengambil kira bentuk asas bangunan Maybank, Latiff Mohidin telah memilih subjek keris dalam mengolah arca awam beliau.
ING Insurance turut memainkan peranan memperkasa arca awam di Kuala Lumpur, 3 buah arca oleh Mohamed Shahbudin Abdul Salam telah dibina di perkarangan Menara ING pada tahun 1985, ketiga-tiga arca ini telah dihasilkan menggunakan kepingan gangsa. Yang menjadi lebih menarik Mohamed Shahbudin  merupakan seorang pengarca ‘self tough’, beliau tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang  seni arca , malahan bermula dengan perniagaan kecil menjual buku yang diwarisi dari bapanya. Memulakan dengan kerja-kerja ‘copper tooling’ Shahbudin akhirnya mampu menghasilkan arca awam yang menarik.
“Keris” arca yang telah dihasilkan oleh Lattif Mohidin
Dapat disimpulkan di era awal kemerdekaan hinga ke tahun 1980an pergerakan arca awam di Malaysia khususnya Kuala Lumpur masih di tahap permulaan. Dengan pengaruh British masih menebal Kuala Lumpur masih dihiasi dengan arca-arca yang dihasilkan oleh pengarca dari luar. Lewat  tahun1980an pengarca tempatan muncul dengan membawa semangat Kongres Kebudayaan Kebangsaan1971 dan jiwa Seminar Akar Pribumi  1979 dalam hasilan arca awam mereka.
 FASA PERKEMBANGAN -ERA 1990AN HINGGA KINI
Seni arca menerima pengiktrafan tetinggi dalam tahun 1990an (T.K.Sabapathy 1991). Ramlan Abdullah  telah membawa persepsi baru dalam dunia arca awam di Kuala Lumpur dan Malaysia. Dengan mendapat pengiktrafan di luar negara dalam pertandingan Oita, iaitu beliau telah memenagi hadiah utama dengan arca bertajuk ‘Growth’ (1995). Sebelum itu beliau telah menghasilkan arca awam beliau yang pertama di Kuching Waterfront, Sarawak. 1996 di Filipina denga arca yang bertajuk V.C sempena  APEC di Filipina. Rentetan dari pengiktrafan  tersebut sempena kemerdekaan Malaysia yang ke 40 Tun Dr Mahathir Mohammed ( Perdana Menteri Malaysia ketika itu ) telah memilih rekaan Ramlan untuk dijadikan arca awam. Arca yang diberi tajuk ‘Wahdah’1997 telah dibina di perkarangan bangunan DBKL. Malangnya arca tersebut telah dipindahkan ke Laman ASEAN tanpa pengetahuan pengarcanya, lantas berlaku sedikit pengubahsuaian khususnya bahagian tapak yang pada asalnya mempunyai gentian optik dan bercahaya tetapi kini digantikan dengan simen hitam yang gelap. Dalam tahun yang sama Ramlan turut menghasilkan beberapa  arca awam di Kuala Lumpur juga di luar Kuala Lumpur antaranya ‘Form and Dispersion’ (1997) arca awam ini dibina di Tasik KLCC, arca ini seolah-olah terapaung di permukaan tasik, dengan bahan yang berchaya dan lut sinar. Namun begitu arca tersebut juga telah dialihkan ke tempat  yang tidak diketahui lokasinya. Sementara itu  arca  ‘Form and Soul’ 1997, turut dibina oleh Ramlan di Sheraton Perdana Hotel Langkawi.Terdapat juga sebuah arca berteraskan huruf jawi  yang diambil dari perkataan Johor telah dihasilkan oleh Ramlan di Johor Baharu. Disebalik kegemilangan mencipta arca awam Ramlan Abdullah juga terpalit dengan satu kontroversi yang secara tidak langsung membuka mata masyarakat untuk membicarakan  soal arca di Malaysia. ‘Resurgence of The South’ (Kebangkitan Selatan) 1997 sebuah arca yang dihadiahkan ke PBB telah menjadi polemik individu yang tidak arif tentang arca, menyamakan arca tersebut  seperti sebuah rak CD amat memeranjatkan bagi golongan arcawan di Malaysia. Perkembangan arca yang sedang melonjak ketika itu khususnya kejayaan Ramlan menghasil beberapa arca awam di luar maupun di bandaraya Kuala Lumpur tidak dipeduli oleh penulis tersebut.  Hikmah disebalik peristiwa itu Ramlan dikenali oleh orang kebanyakan yang naif tentang arca. (Ramlan Abdullah  2010)[7]
‘Wahdah’ oleh Ramlan Abdullah.
Selain Ramlan , Petronas turut mentauliah Abdul Lattif Mohidin untuk menghasilkan arca awam di perkarangan masuk bangunan berkembar KLCC. ‘Kinetik I’ 1998 dan ‘Kinetik II’ 1998 merupakan sebua arca yang harus dilihat secara bersama bersesuaian dengan konsep bangunan ‘berkembar’ itu sendiri.
Kinetik I & II perlu dihayati bersama, kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain seperti menara KLCC yang dicantumi oleh jejantas udara yang melambangkan kekuatan kesepakatan, konsep perpaduan yang merujuk kepada tenaga visi kreatif dan pertumbuhan PETRONAS dan rakyat yang dinamik . Latiff Mohidin,1998[8]

Arca ‘Kinetik I’ dan ‘Kinetik II’ merupakan satu-satunya arca awam  yang ‘bergerak’ di bandaraya Kuala Lumpur. Pergerakan arca in menggunakan kuasa mekanikal yang dibina di dalam bentuk arca tersebut. Sebuah arca lagi yang terdapat di Taman KLCC adalah hasil karya arcawan Australia John Underwood, “Whale and Dolphin” 1997 menampilkan susunan  menarik dengan imej seekor  ikan paus setinggi 6meter sedang menjulang badannya, di bahagian belakang kelihatan dua ekor dolphin kecil sedang beraksi melompat dari permukaan air. Arca yang menampilkan unsur pergerakan ini mencipta harmoni  dengan persekitaran tasik yang sentiasa dikunjungi pelbagai  manusia.
Pihak kerajaan turut berfungsi secara aktif dalam menyemarakan pembinaan arca awam di Kuala Lumpur  selain arca ‘Wahdah”1997 oleh Ramlan, Mohamed Shahbudin Abdul Salam turut diminta  untuk membina arca “Tunku Abdul Rahman” (1994) di Memorial Tunku Abdul Rahman. Arca daripada bahan batu granit hitam tersebut telah dihasilkan oleh beliau di Madras, India dan diterbangkan ke Malaysia. Hong Kong and Shanghai Bank turut meminta Mohamed Shahbudin untuk membina arca untuk diletakkan di hadapan ibu pejabat HSBC di jalan Leboh Ampang . “Lion” 1995 diperbuat dari bahan gangsa  menjadi ikon kepada HSBC. Dalam tahun 1997 Mohamed Shahbudin sekali lagi diminta oleh kerajaan Malaysia untuk menghasilkan arca awam di dataran bangunan KLSE. “Bull and bear” ,1997 sebuah arca awam berbentuk realistik, telah menggunakan imej binatang sebagai ikon kepada kenaikan dan penurunan pasaran saham. Menurut Mohamed Shahbuddin imej
binatang  beruang dan seladang telah dipilih sendiri oleh perdana Menteri ketika itu Tun Dr . Mahathir Mohamed .
Suatu yang menarik untuk diperkatakan adalah peranan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir yang punya pemikiran yang tajam dan kritis terhadap karya seni termasuklah arca awam dan sering terlibat secara lansung sebagai pemimpin yang memberi idea dan menginginkan arca awam wujud di sesebuah lokasi.
Ariffin Mohd Ismail turut menghasilkan sebuah arca awam yang menarik setelah  beliau memenangi pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Planetrium Negara, arca “Time and Space” (1993) telah dibina di kawasan taman berhampiran Planetrium Negara. Ini merupakan arca beliau yang dibina di tahun-tahun 1990an selepas karya-karya arca awam  yang terdahulu dirintis di  awal tahun 1980an.
Sukan Komenwelth  1998 di Kuala Lumpur meninggalkan tanda yang dominan dalam dunia arca awam di Malaysia. Seorang pengarca British Neil Auriol Lawson Baker dengan kerjasama Ramlan Abdullah telah menghasilkan sebuah arca ‘Keris’ 1998 setinggi 41 kaki di hadapan Stadium Utama Bukit Jalil. ‘Keris’ menjadi simbol pemulangan maruah dan kuasa bangsa oleh penjajah kepada negara Malaysia.
Public Bank Berhad turut menyemarakan perkembangan arca awam di Kuala Lumpur, dengan mengambil aspirasi Wawasan 2020 sebagai sandaran, mereka telah mengadakan pertandingan untuk mencipta dan membina arca awam di Taman Wawasan Public Bank di Jalan Hishamuddin. Hasilnya, tiga orang pengarca telah dipilih untuk membina arca mereka dilokasi tersebut. Lee Kian Seng dengan arca “Vision 2020” (1993) telah menampilkan sebuah karya minimilis menggunakan bentuk geometrik empat segi tepat yang diulang, Ini mengingatkan karya arca awal beliau “Manusia dan Persekitaran” (1973). Zakaria Awang salah seorang arcawan perintis turut dipilih dan telah membina karya yang mempunyai tajuk yang sama dengan Lee Kian Seng “Vision 2020” (1993) . Arca yang kuat dengan stail kubis memberi kekuatan dari segi bentuk dan aspek formal bersesuaian dengan tema wawasan 2020 itu sendiri. Raja Shahriman  Raja Azidin pengarca pelapis yang prolifik telah membina arca “vision 2020- growth Equity”(1993). Karya yang menggunakan simbol anak benih yang tumbuh keatas memperlihatkan kekuatan bentuk yang diolah dengan gaya abstrak ekspresionis. Raja Shahriman membawa pemikiran arcawan muda yang  bergerak pantas dan aggresif , bentukkan arca beliau kelihatan berbeza jika dibandingkan dengan karya oleh Lee Kian Seng dan Zakaria Awang. Disamping itu terdapat 3 arca Raja Shariman yang dihasilkan di negeri Perak. Dua darinya diletakkan di  hadapan bangunan Setiausaha Kerjaaan Negeri dan satu terletak di Komplek Sejarah Pasir Salak. Ketiga-tiga arca tersebut dihasilkan dalam tahun 1990an.
Arca oleh Raja Shahriman Raja Aziddin
di lokasi Taman Wawasan Publik Bank.

Memang tidak dapat disangkal dunia seni arca awam di Kuala Lumpur  berkembang pesat di tahun 1990an, momentum tersebut diteruskan menjelang alaf baru- abad ke 21. Balai Seni Lukis Negara mengorak langkah dengan menganjurkan satu pertandingan mencipta dan membina arca awam. Hasil dari pertandingan tersebut, sebanyak 5 buah arca awam telah dibina di persekitaran bangunan Balai Seni Lukis Negara. “Unity and Diversity”( 2000) oleh Ramlan Abdullah, beliau masih mengkekalkan bentuk karya  berstruktur. Menggunakan batang besi tahan karat yang pelbagai ukuran, arca dikonstruk menjadi bentukan berimej keris. Karya ini diletakkan dihadapan pintu masuk ke pejabat pentadbiran. Mohd Faizal Ramli seorang arcawan muda telah menghasilkan arca yang diperbuat dari kayu cengal. “Berat Mata Memandang” (2000) sebuah arca yang mengambil pendekatan ukiran Melayu tetapi dibina dengan pemahaman teori barat. Konsep binaan rumah Melayu jelas kelihatan dengan teknik tangam dan pasak  malahan penggunaan kayu cengal yang bersaiz besar mampu memberi impak  dalam konteks arca awam. Karya beliau diletakkan sebagai gerbang dipintu masuk bahagian belakang ruang utama di Balai Seni Lukis Negara. Aznan Omar seorang lahi arcawan muda turut terpilih untuk menghasilkan arca awam di BSLN. Karya beliau “One Drop”(2000) terbentuk dari anyaman kabel tahan  yang menyerupai seperti titisan air yang akan jatuh ke permukaan melengkung yang sedia menunggu di bahagian bawah. Terletak dilokasi tingkat satu bahagian belakang BSLN, arca “one drop” kelihatan gagah tergantung  sambil menerima kunjungan  khayalak. Tidak ketinggalan didalam pertandingan tersebut pihak urusetia telah memilih arcawan wanita berbangsa cina, Wong Pey Yu lulusan MIA. Beliau telah membina Arca “to be or not to be- Standing Egg”. Mengambil pepatah Melayu bagai telur dihujung tanduk menjadikan arca ini menarik dari segi bentuknya.  Malahan kebanyakan pamplet atau  brousher yang dikeluarkan  untuk memperkenalkan BSLN pasti imej arca “to be or not to be- Standing Egg”. sering digunakan. Seorang lagi pengarca berbangsa cina turut menghasilkan arcanya, iaitu Chan Wan Kee. Arca “Harmony and Unity”(2000) di letakkan di pinggir hadapan Balai Seni Lukis Negara. Beliau menggunakan bahan Mild Steel dan diwarnakan  dengan warna kontras jingga kemerahan. Kelima-lima karya arca awam yang dihasilkan dari pertandingan ini memberi impak nilai tambah kepada perkembangan arca awam di Kuala Lumpur dan Negara. Pengiktrafan oleh kerajaan melalui Balai Seni Lukis negara memberi dimensi segar khususnya kepada pengarca dan masyarakat yang kurang pengetahuan dan pengamatan tentang arca awam.
Seni arca awam merupakan cabang seni yang berperanan besar dalam kesempurnaan pembinaan satu-satu lanskap/habitat masyarakat awam. Dengan ini Balai Seni Lukis negara bertanggungjawab dalam memupuk pemahaman dan apresiasi tentang cabang seni ini melalui aktiviti pertandingan dan pameran seni arca awam sebegini yang julung kali diadakan di Malaysia oleh pengkarya Malaysia untuk diabadikan di Balai Seni Lukis Negara.[9]
Kesedaran tentang peranan sesebuah arca awam dalam menambahnilai sesuatu lokasi maupun  pihak pembinanya turut berlaku di persekitaran Masjid Negara. Yayasan Bukahary yang diasaskan oleh jutawan terkenal Tan Sri Bukhary telah dipertanggunjawabkan untuk mengindah persekitarannya.  Terdapat  3 arca awam telah dibina di kawasan tersebut. 2 arca yang menggunakan  imej tulisan khat telah dibina, dan sebuah arca yang mempunyai pancutan air bertingkat turut dibina di tengah-tengah taman tersebut. Walaupun ketiga-tiga bentuk arca
ini bukanya dihasilkan oleh pengarca namun kewujudannya menepati ciri-ciri arca awam dalam kajian ringkas ini. Kewujudan arca di Masjid Negara ini penting sebagai penyokong kepada  perkembangan arca yang satu ketika dikatakan larangan agama adalah satu halangan. Arca seumpama ini turut dapat dilihat di persekitaran Jeddah dan Madinah di Arab Saudi.

Di alaf baru ini  Malaysia melihat kehadiran seorang arkitek yang menghasilkan arca awam. Mutalib Musa telah mencabar dirinya untuk meneroka bidang arca yang  dikatakan tidak banyak berbeza dengan disiplin senibina. Berbekalkan pengetahun dan kemahiran ‘autocad’ yang sering digunakan dalam menyiapkan kerja-kerja senibinanya, Mutalib telah mengaplikasikan kemahiran tersebut ke dalam rekaan arca. Hasilnya amat menakjubkan, dengan menggunakan teknik potongan laser kepingan logam  terbentuk dalam corak dan rekaan yang dikehendaki. Karya “The Breeze” (2004), “The Wave”(2006), “Swell”(2006), “Patience”(2007), “Bloom Series”(2007), dan “Involute Series”(2007)  merupakan karya arca awam beliau dibeberap lokasi strtegik di sekitar Kuala Lumpur. Pengarca muda ini dengan pantas diterima  selaku  contoh generasi muda di alaf baru yang inovatif  dalam berkarya. Malahan Mutalib Musa turut diminta untuk membina arca awamnya di Putrajaya juga di beberapa negara seperti Japan, China, Australia dan Singapura.
Salah satu arca oeh Mutalib Musa ‘Patience’ di Prince Court Medical Center

Sememangnya diakui untuk memberi kesedaran yang lebih kepada masyarakat perihal arca awam, suatu pendekatan yang bijak harus dilakukan.  Antara pendekatan itu  adalah menghasilkan arca awam yang boleh diletakkan di ruang dinding kerana ianya lebih hampir dengan disiplin yang telah popolur awal iaitu disiplin catan Aznan Omar, 2010[10]. Selain itu penggunaan ruang dinding merupakan satu lokasi yang mudah di sesuaikan dengan pelbagai arca awam, terutamanya yang bersifat timbulan. Kehadiran Raja Azhar Idris dengan  arca dindingnya memberi suatu sisi yang inovatif dalam dunia arca awam di
Kuala Lumpur. Jika Mutalib Musa mempunyai kelainan dari segi teknik, Raja Azhar pula berinovasi dengan bahan kaca dengan teknik tersendiri. Pendekatan sedemikian dilihat sesuatu yang baru dalam dunia arca awam di Malaysia. Karya “Naungan” (2000) dan “Ceria dan Sihat” (2008) memperlihatkan kemahiran pengarca mengolah bahan kaca dalam bentuk  timbulan yang menarik. Penuh berwarna warni serta mempunyai imej-imej yang tertentu karya arca awam oleh Raja Azhar ini memberi cita rasa yang indah. Tambahan pula bahan kaca yang sentiasa berkilat dan bersinar memberi kesan elegan dan amat bersesuaian dengan era terkini.
Penghujung tahun 2010 dua arca awam lagi telah dibina di Bandaraya Kuala Lumpur. Sebuah syarikat telekomunikasi yang gah Aixata telah meminta pengarca terkenal Ramlan Abdullah  untuk membina arcanya di perkarangan bangunan baru mereka di kawasan  KL Senteral.  “Prisms by Axiata” 2010  menjadi arca berstruktur setinggi 24.2 meter dan yang tertinggi setakat ini di Malaysia.  Menjadi ikon terbaru Axiata dan Bandaraya Kuala Lumpur.

Arca Axiata by Prisma, 2010,  oleh Ramlan Abdullah
Selepas  13 tahun arca ‘keris’ oleh Abdul Latiff Mohidin di taja oleh Maybank. Pada 22 disember 2010 sempena ulangtahun ke 50 Maybank. sebuah arca oleh Yusof Gani telah di bina di Menara Maybank  untuk menjadi teman kepada arca ‘keris’.  Dengan tajuk  ‘Segerak- One Movement ,1Malaysia’ , arca ini berdiri gagah membawa inspirasi 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke 5.
Arca Segerak ‘One Movement, 1Malaysia’,  oleh Yusof Ghani di Menara Maybank

Dalam tahun ini juga dua buah arca telah dibina  di Jalan Brickfield Bangsar, Arca Dancer ini telah dihasilkan oleh sebuah syarikat yang dinamakan Sculptureatwork. Dengan mengambil intipati tarian  Baharatanatyam arca tersebut dibina dengan pendekatan figura kubis. Terdapat dua bentuk arcanya yang mewakili penari lelaki dan penari wanita. Terkini dalam tahun 2011 Muthalib Musa telah membina sebuah arca di Taman K Sentral, Kuala Lumpur. Arca yang diberi nama daripada  benih

Arca oleh Muthalib Musa,2011

Salah satu arca yang terdapat di little India, Bangsar.

SEPINTAS LALU ARCA AWAM DI LUAR KUALA LUMPUR.
Selain Kuala Lumpur, arca awam turut berkembang ke negeri-negeri lain di Malaysia, antaranya disekitar Lembah Kelang seperti Kelang, S.Alam dan Petaling Jaya. Arca-arca yang ditangani oleh seniman seperti Alayahram Khalid Yusof , Nor Hanem, Rosli Zakaria, Ramlan Abdullah, Mohmed Shahbudin dan Mutalib Musa berada disekitar lokasi yang disebutkan di atas.
Arca awam di Pulau Pinang bergerak dengan  program Penang Sculpture Trail merupakan program yang diilhamkan dari projek Tachikawa Art Map di Jepun dalam lingkungan tahun 1992- 1994. Idea tersebut telah dibawa oleh  Hitori Nakayama ke Pulau Pinang. Dengan kerjasama dari Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Penang Museum & Art Gallery dan Friends of Penang Earth Group projek tersebut telah mula berjalan.  Hasilnya wujud arca ‘Under a Penang Sky’2009  oleh Kikuchi Mitsuo. Manakala Hitori Nakayama telah menghasilkan ‘celeberation of blue Sky’ 2008, dan diletakkan di Persiaran Teluk Nautilus Jelutong,  Bandar Sri Pinang. Seorang lagi artis jepun adalah Katsumi Mukai dengan arca yang mengkagumkan menggunakan pokok Jati yang telah ditebang dan dijadikan arca ‘The Wind of Penang” 2005.
Arca oleh Katsumi Mukai di Pulau Pinang 

Konsep dataran yang dipelopori di tahun 1990an antara yang menjadi lokasi  menarik di setiap daerah dan negeri. Negeri Johor telah melaksanakan konsep ini. Beberapa dataran yang dibina telah diperkukuh dengan meletakkan arca awam  seperti arca di Dataran Batu Pahat, Dataran Sungai Rengit dan Taman Arca Bandar Penawar. Di Bandaraya Johor Bahru berhampiran persiaran Segget terdapat sebuah arca oleh  Ramlan Abdullah yang menggunakan imej tulisan jawi ‘johor’. Arca yang berbentuk semi abstrak ini menjadi satu-satunya arca moden di Johor Baharu.
Sebuah arca yang terdapat di Dataran Batu Pahat

Arca ‘Keris’ di Taman Arca Bandar Penawar.
Beberapa buah arca awam turut dibina di Negeri Melaka khususnya di kendalikan oleh kerajaan tempatan sekitar tahun 2001. Arca tersebut dibina di Daerah Jasin, Daerah Alor Gajah dan Daerah Melaka Tengah. Namun begitu kualiti sebagai sebuah arca masih boleh dipersoalkan terutama dari segai konsep dan rekaan serta teknik dan bahan . Arac keris di Dataran  Alor Gajah kini menjadi ikon daerah Alor Gajah. UiTM Lendu dalam daerah Alor Gajah turut membina sebuah arca yang diberi nama arca MIM di Dataran Pentadbiran. Arca yang turut mengunakan imej keris dan huruf jawi ‘mim’ telah diolah dalam stail semi abstrak. Arca ini dibina menggunakan bahan  kepingan besi pada tahun 2007 diketuai oleh Rosli Zakaria dan pengarca lain seperti Baharim Samuri, Mohd Shahruddin Supah, dan Azahari Khalip.
Arca ‘MiM’ di UiTM Melaka.



Di beberapa negeri lain turut memperlihatkan perkembangan arca awam berlaku khususnya di tahun 1990an dan tahun 2000. Di negeri Perak, Raja Shahriman dan Ariffin Mohd Ismail masing-masing menghasilkan  arca di sekitar bandar Ipoh dan kompleks Pasir Salak. Yeo Jing Ling menggunakan bahan tinggalan sejarah iaitu bahagian-bahagian kapal korek untuk membina arcanya. Sementara itu dalam tahun 2010 Sekumpulan pengarca yang diketuai oleh Aznan Omar dan rakan seperti, Paiman, Syed Alwi, Mohd Daud Rahim, Azian Tahir, Hamidi Abd. Hadi, Mahizan Hijaz Mohammad, Izaddin Matrahah, Mohd Hafiz Yahya telah menghasilkan  ‘arca minda’ , sebuah arca yang mempunyai konsep menarik di bangun baru di UiTM Kampus Seri Iskandar.

 Arca ‘Minda’ di UiTM Seri Iskandar

Langkawi mampu membawa pengarca Ramalan Abdullah dan Mohammed Shahbuddin Salam membina arca di beberapa lokasi seperti Sherton Hotel dan lapangan terbang Mat Sirat. Malahan terdapat sebuah arca daripada batu yang dihasilkan oleh pengarca dari Mozambique di hadapan Galeria Perdana yang mengumpulkan khazanah Tun Mahathir.
Sebuah arca yang diperbuat daripada batu terdapat di hadapan Galeria Perdana, Langkawi.

Di bahagian timur Malaysia seperti Pahang, Terangganu dan Kelantan turut mempunyai arca awamnya tersendiri seperti  di pekan Termeloh dengan arca ikan Patin. Di KualaTrengganu Arca replica batu bersurat dan Khat ‘Allah’ dari Bukit Besar amat mengkagumkan, diletakkan dilokasi yang amat bertepatan lantas ianya mampu memberi nilai estetika yang punya roh keislaman.

Arca Ikan Patin di Temerloh,Pahang

RUMUSAN

Ketandusan yang dilaporkan dalam penulisan T.K Sabapathy, Piyadasa dan Sulaiman Esa awal tahun 1970an tentang seni arca, dengan pantas dijawab oleh seniman  arca di Malaysia sekaligus menyemarakkan perkembangannya di tahun-tahun 1980an membawa kepada kegemilangan arca di Malaysia di tahun 1990an hinggalah kini. Situasi sedemikain membawa  bersama satu lagi disiplin arca yang hampir tidak dikuasai oleh seniman tempatan mulai tahun 1960an dan 1970an iaitu arca awam. Perkembangannya disimpulkan bermula di zaman penjajah yang menampilkan pengarca penjajah itu sendiri yang menghasilkan arca-arca memuji bangsa mereka sendiri. Arca ‘Frank Swethnam’, ‘Francis Light’, ‘Stamford raffles’, ‘Robert Walker’, ‘King Edward’ menjadi bukti penjajah bijak memanupulasikan arca awam demi kepentingan bangsa mereka. Sehingga kini arca awam tersebut kekal ( salah satu sifat arca awam) di lokasi-lokasi tertentu, tetapi kini membawa persepsi yang berbeza dengan kehendak pengkaryanya dahulu, arca-arca tersebut sebagai satu simbol dan tanda sejarah Malaysia pernah dijajah. Kemunculan seniman arca lewat 1970an  dan 1980an memberi nafas baru dalam displin arca awam tempatan. Dilandaskan dari Kongres Kebudayaan 1971 diikuti Seminar Akar-Akar Pribumi 1979 , pengarca seperti Ariffin Mohd Ismail , Zakaria Awang, Syed Ahmad Jamal , Lattif Mohidin dan Mohamed Shahbuddin Abdul Salam mengorak langkah mewarani lanskap negara dengan rekaan arca awam mereka. Kehadiran tahun 1990an dan alaf baru menyaksikan pengarca genarasi kedua seperti Ramlan Abdullah, Raja Shahriman  memacu terus kegemilangan arca  awam di Malaysia. Momentum in diteruskan dengan karya-karya daripada Mohd Faizal Ramli, Rosli Zakaria, Aznan Omar, Wong Pek Yu dan Mutalib Musa. Malahan yang amat membanggakan di Alaf Baru ini kehadiran seniman dari disiplin  lain yang sama-sama memeriahkan dunia arca awam. Yusof Gani seorang ‘painter’, Mutalib Musa seorang arkitek,  Raja Azhar (sebelum in terkenal sebagai ‘painter’ dan ‘print maker’) masing-masing menyumbang dalam kemeriahan arca awam di Malaysia.
Beberapa faktor dikenalpasti kepada penyumbang kewujudan arca awam di Malaysia . Pertama arca awam  dihasilkan atas dasar penajaan dari kerajaan dan swasta.  Contohnya 3 arca di Taman Wawasan Publik Bank dan arca ‘wahdah’1997 di Laman  ASEAN.  Bagi pihak swasta , menaja seorang pengarca untuk menghasilkan arca awam sudah tentu melihat dalam konteks sejauh mana arca tersebut memberi pulangan dari segi pengukuhan imej syarikat mereka. Contoh yang ketara arca-arca yang terdapat di Menara Maybank dan Maybank Etiqa di Bangsar. Kedua adalah faktor pertandingan.  Terdapat antara arca awam yang terhasil dari pertandingan oleh pihak-phak tertentu. Contoh arca di perkarangan Balai Seni Lukis Negara, Planetrium Negara, Menara ING dan bangunan KUAWASA. Ketiga adalah atas faktor, aktiviti memperkasa kesenian itu sendiri. Contoh yang paling jelas adalah Simposium Arca ASEAN  dan Penang Sulpture Trail.
Dalam kajian ringkas ini beberapa kelemahan dikenalpasti dan memerlukan tindakan dan penambahbaikan bagi menjadikan arca awam ini  terus berkembang dan mampu menjadi simbol budaya negara. Pertama persoalan reka bentuk arca yang dihasilkan  dan diselengara oleh kerajaan tempatan  tidak direka oleh pengarca atau mereka yang mempunyai ‘autoriti seni’ lantas hasil arca awam tersebut hilang nilai estetika yang sepatutnya malahan ianya gagal menyampaikan sesuatu maksud kepada khayalak atau maksud yang disampaikan hanya secara luaran semata-mata. Maka arca-arca yang dihasilkan lebih banyak bercirikan replika. Dicadangkan pihak-pihak yang berkaitan harus mempunyai satu  panel yang mengandungi ahlinya dikalangan yang pakar dalam bidang arca , bukan semestinya pengarca tetapi meraka yang faham tentang arca. Kedua kelemahan penyelenggaraan selepas sesebuah arca tersebut diletakkan dilokasi. Didapati banyak terdapat arca khususnya yang menggunakan elemen pancutan air sebagai elemen tambahan tidak diselenggara dengan sepatutnya maka ini mencacatkan keseluruhan  penampilan arca tersebut. Adalah lebih baik sekiranya arca tersebut berdiri sendiri tanpa elemen tambahan seperti pancutan air tersebut. Arca yang berwarna harus sentiasa di warnakan semula demi menjaga kesegarannya. Arca ‘To be or not to be’ merupakan contoh yang menarik dalam hal ini. Terdapat juga arca yang terdedah dengan vandalisme  seperti yang berlaku kepada arca Ramlan Abdullah di Johor . Pihak yang bertanggungjawab harus peka bagi mengatasi masalah ini. Perkara sedemikan turut berlaku di negara lain , satu contoh sebuah arca di Australia  ‘Birth of Venus’ oleh Antone Bruinsma telah diwarnakan dengan warna merah jambu dibahagian tertentu oleh pihak tidak bertanggungjawab dan telah mengundang kontervesi  bagi masyarakat Brisbane. Untuk menangani masalah penyelanggaraan ini dicadangkan pihak yang bertanggungjawab mengwujudkan unit khas memantau dan mengenalpasti apa jua kelemahan fizikal yang dialami oleh setiap arca awam yang telah dibina. Kita tidak mahu peristiwa arca ‘Lunar Peak’ berulang kembali, dimana antara alasan pengubahansuaian tanpa pengetahuan pengarca ialah kerana untuk memudahkan penyelengaraannya.
“But Lunar Peaks (1985) in Jalan Bandar was willfully vandalized by Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, the very city godfather whose sacred duty it is to preserve, safeguard and maintain it after the previous”owenr” UMBC, bequeathed the work in November 1986 to the nation.”[11]

 Kelemahan ketiga yang dikenal pasti  adalah berkaitan label atau informasi yang tidak diletakkan di sesebuah arca awam yang dibina. Setiap label dan informasi yang dituliskan menjadi panduan untuk khaylak untuk mengetahui dan memahami  perihal arca yang dibina. Kelemahan ini amat ketara berlaku kepada arca awam yang dibina di luar dari Kuala Lumpur.  Sesuatu yang tidak patut berlaku adalah kesalahan meletakkan label di arca tertentu. Dalam kes ini, arca awam yang terletak di Taman Wawasan Publik Bank menjadi contoh yang paling jelas iaitu nama pengarca  Raja Shahriman di letakan di arca Zakaria Awang dan sebaliknya  Arca Raja Shariman diletakkan nama Zakaria Awang. Agak lama perkara ini berlaku namun sehingga kini masih belum diperbetulkan. Suatu yang menarik boleh dijadikan panduan pihak tertentu di Malaysia iaitu ketika penulis menghadiri Simposium Arca di Luar Negara, sebelum sesebuah arca yang dihasilkan diletakkan di tempat yang ditentukan, pihak penganjur telah mendapatkan pengesahan butiran apa yang hendak ditulis sebagai label. Mereka menyiapkan terlebih dahulu label tersebut dan menunjukkan kepada pengarca  untuk memastikan tiada apa-apa kesalahan
dan akhirnya akan diletakkan di setiap arca awam yang siap diletakkan di atas tapaknya.

Dapat disimpulkan perkembangan arca awam  di Malaysia mempunyai fasa yang ringkas dan muda. Fasa pengenalan – era penjajah dan awal kemerdekaan , Fasa Permulaan  era 1980an sehingga 1990 dan fasa  penstabilan era 1990an hingga kini. Malaysia masih menunggu fasa kegemilangan dan keterbilangan bilamana arca awam memenuhi ratusan ruang yang masih kosong, lantas ketika itu masyarakat lokal maupun global melihat cerimanan budaya melalui arca awam –arca awam yang berada  di sekeliling mereka.
Maka ketika itu nanti kita tidak akan berasa hairan bagaimana GSA[12] mampu  meningkatkan kewujudan arca awam di Amerika Syarikat, dalam tempoh 2 era yang berbeza 1962-1966 dan 1973 -1978 sebanyak 136 karya arca awam terbina punya kualiti dan nilai yang tinggi. Itu dulu,  kini di USA bagaimana?,
mungkin arca yang punya nama timangan ‘The Bean’ (2004-2006) oleh Anis Kapoor  mampu memberi indikator keadaan arca awam di sana.

RUJUKAN 
Anwar Din, 2008, Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu, Bangi: UKM.

Atkins, Robert. 1990.  Art Speak: A Guide to Contemporary Ideas, Movements,
     and Buzzwords. New York, NY: Abbeville Publishers.

Baha Zain. 1999. Tradisi dan kemodenan: nasi campur dalam kebudayaan
     Malaysia. Ipoh: Yayasan Kesenian Perak.

Baharudin Arus. 1996. Katlog Pameran Seni Arca Konteporari Malaysia:
     Persoalan Tradisi dan Kemodenan. Kuala lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Baharuddin Arus. 1999.  Seni arca dalam konteks tradisi dan moden: implikasi  
     dalam masyarakat. Ipoh: Yayasan Kesenian Perak.

John.T.Young. 1999.  Contemporary Public Art in China. London: University
     of Washington.

Laura Fan. 1996. A long road ahead Asia-Pacific Sculpture News, Volume 2
     Number 3 Summer 1996.

Mel.G. 1998.  Public: Art: Space. London:  Merrell Holberton.

Mohamed Ali Abdul Rahman.  2000. Modern Malaysian art : manifestation of  
    Malay form and content. Shah Alam: Universiti Teknologi Mara.

Muliyadi Mahamood. 2001. Seni Lukis Moden Malaysia- Era Perintis Hingga
       Era Pluralis (1930-1990). Kuala Lumpur:  Utusan  Publication &
      Distributors Sdn Bhd.

Muliyadi Mahamood. 1995.  Seni Lukis dalam Peristiwa. Kuala Lumpur:
     Dewan Bahasa dan Pustaka.

Redstone Louis.G.  1981. Public Art New Directions. USA: McGraw-Hill.

Redza Piyadasa. 2000. Rupa Malaysia: Meninjau Seni Lukis Moden Malaysia.    
      Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara Malaysia.

Redza Piyadasa, Sulaiman Esa.1972. Towards a Mystical Reality: A  
     Documentation of Jointly Initiated Experienced by Redza Piyadasa and
     Suleiman Esa’.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Susanne K.Langer. 1957. Reflection On Art. USA: Baltimore. Com. Inc.

Syed Ahmad Jamal. 1992. Rupa Dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
    Pustaka.

Tengku Sabri Ibrahim. 2009. Tanpa Tajuk ; Cerita-cerita Seni Rupa. Kuala   
     Lumpur: Tinta Publisher.

Tom.A, Wayne.C,Norman.F., Babara.H., David.R. 1976. 200 Years Of
      American Sculpture.  New York : David R. Publisher.

T.K.Sabapathy. 1976.  A View Of Modern Sculpture In
        Malaysia, Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis negara.

T.K.Sabapathy. 1978. Piyadasa. Kuala Lumpur: Archipelago Publisher.

W.J Strachan. 1984. Open Air Sculpture in Britin – A Comprehensive Guide.  
      Thames & Hudson. London.

1937. The Rubber Research Institute of Malaya/Pejabat Menyiasat Hal-ehwal
    Getah bagi Tanah Melayu. Kuala Lumpur Federated States Malaya .

1987. Katalog Pameran Seni Lukis Malaysia- The collection of The Six Greatly  
     Enrich The Number of Public Sculpture in Kuala Lumpur. Kuala Lumpur:
     Balai Seni  Lukis Negara.

1987. The Collection of The Six Greatly  Enrich the Number of Public Sculptures in Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Balai Seni  Lukis Negara.

1987. Fifth ASEAN Square Sculpture Symposium. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara


[1] Rujuk,  The Rubber Research Institute of Malaya/Pejabat Menyiasat Hal-ehwal Getah bagi Tanah Melayu, hal. 6, Kuala Lumpur Federated States Malaya  August 1937.
[2] Lihat Ku Seman Ku Halim, Utusan Malaysia 30 mei 2010.
[3] Tulisan dalam buku Tradisi, Kemodenan dan Jatidiri sempena Festival Pekan Seni Ipoh III.1998. Hal75.
[4] Lihat, Laura Fan. Malaysia Feature A Long Road Ahead,  Asia –Pacific Sculpture News , pg 33
[5] Arca ini menjadi inspirasi Kepada Tunku Abdul Rahman sehingga lahirnya Tugu Negara
[6] Frasa ayat yang terdapat di atas arca timbulan di bangunan Lembaga Getah Malaysia.
[7] Temubual bersama Ramlan Abdullah di Studio arcanya pada 2010.
[8] Rujuk keterangan yang terdapat di label  arca ‘Kinetik I dan kenitik II.
[9]  Maklumat yang terdapat di dalam Kertas Risalah Pertandingan dan Pameran Seni Arca Awam .Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan -BSLN.1999
[10] Temubual bersama artis di pejabatnya di UiTMSeri Iskandar pada tahun 2010.
[11] Artikel oleh Ooi Kok Chuen,  Lost Art In The City dalam Sunday Star 23 Mei 2010.
[12] GSA – General Service Administration, sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab mengendalikan progran Art- in- Architecture Program di USA. Khususnya dalam tahun 1960an hingga lewat 1970an.

[1] Lihat ,Seni Rupa, dalam Asas kebudayaan dan kesenian Melayu, hal.226
[2] Tradisi, Kemodenan dan Jatidiri hal 11-12.
[3] Lihat , Oh Britain, kau tidak pernah tinggalkan minda kami, rencana dalam Mingguan Malaysia, ahad 15 Mei 2011.
[4] Seorang pengarca , presiden persatuan Pengarca China, Profesor tamu Universiti Nanjing, Penasihat pakar bagi perbandaran Bejing dan menjadi pensyarah  jemputan di pelbagai institut di China.

[5] Kertas Kerja  Art & The Enviroment: The Malaysian Scenario,dibentangkan di Concorde Hotel pada 22 mei 1996.
[6] ‘Towards a Mystical Reality’ (1972)

[7] Keterangan diambil dari papan tanda yang terdapat di Fort Cornwalis dimana lokasi arca Francis Light kini ditempatkan.
[8] Rujuk,  The Rubber Research Institute of Malaya/Pejabat Menyiasat Hal-ehwal Getah bagi Tanah Melayu, hal. 6, Kuala Lumpur Federated States Malaya  August 1937.